IPOH – Sebanyak 220 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam sekatan jalan raya dan dalam kawasan hutan sekitar Cameron Highlands, Pahang dalam dua operasi berasingan sejak 1 Nov hingga semalam.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada 61 warga Bangladesh, India (18), Myanmar (39), Indonesia (45), Nepal (50), Pakistan (3), Kemboja (2) dan Sri Lanka (2).
“Seramai 155 orang Pati telah ditahan menerusi operasi bersepadu yang dijalankan polis serta agensi berkaitan sejak 1 Nov hingga 21 Nov manakala selebihnya (65 PATI) ditahan menerusi operasi gempur PATI melibatkan anggota polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 22 Nov hingga semalam.
“Daripada jumlah 220 tangkapan itu, 56 orang PATI ditahan dalam sekatan jalan raya manakala 164 lagi ditahan di dalam hutan yang mana kita percaya mereka menjadikan kawasan hutan sebagai tempat tinggal,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Wan Mohd Zahari berkata operasi gempur PATI itu disertai pegawai dan anggota PGA dan ATM dalam menggempur lokasi tertentu yang menjadi tumpuan PATI dalam kegiatan pembukaan tanah secara haram di kawasan tanah tinggi itu khususnya pada waktu malam.
Pada 22 Nov lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ATM menggerakkan anggota ke Cameron Highlands untuk menggempur kegiatan pembukaan tanah secara haram di tanah tinggi itu pada waktu malam.
Menurutnya, langkah itu diambil susulan perbincangannya dengan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, berdasarkan laporan bahawa kegiatan itu sering dilakukan oleh PATI pada waktu malam.
Kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh di Kampung Raja, Pekan Ringlet dan Lembah Bertam di Cameron Highlands pada 5 Nov lepas, mengakibatkan lima kematian dan lebih 90 mangsa daripada 28 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan di Dewan Serbaguna Orang Ramai di Ringlet. – BERNAMA