SEREMBAN – Lolanopita Sadi, ibu remaja Orang Kurang Upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah, yang berdepan dua pertuduhan mengikut Akta Kanak-kanak 2001 menukar pengakuan kepada bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Wanita berusia 40 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan semula di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.
Mahkamah kemudian menetapkan 17 November untuk hujahan mitigasi dan menjatuhkan hukuman.
Lolanopita kali pertama dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 27 Jun lalu.
Mengikut pertuduhan pertama, ibu kepada dua anak itu didakwa sengaja mengabaikan Muhammad Firdaus dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami cedera fizikal atau emosi di sebuah bilik di rumah mereka di Blok 15-1-9 Flat Semarak, Nilai antara Januari hingga 2.30 petang, 21 Jun.
Pendakwaan adalah mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua pula, wanita itu berdepan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 33c akta sama kerana sengaja membiarkan anaknya tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan di tempat sama pada pukul 2.30 pagi, 21 Jun.
Kes dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan Negeri Sembilan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh manakala Lolanopita pula diwakili peguam Hanif Hassan. – BERNAMA