ALOR GAJAH – Golongan mahasiswa perlu bijak menggunakan ruang yang ada untuk meluahkan pendapat serta rasa tidak puas hati mereka dan bukan terjebak dengan demonstrasi yang tidak membawa sebarang makna, kata Ketua Puteri Umno, Mas Ermieyati Samsudin.
Beliau berkata dunia tanpa sempadan kini tidak menghalang sesiapa sahaja termasuk mahasiswa untuk meluahkan pendapat mereka serta berpolitik tetapi ia seharusnya dilakukan dengan kaedah betul yang tidak mendatangkan kesan negatif kepada mana-mana pihak.
“Memang tidak salah jika mahasiswa mahu memberikan pendapat mereka, malah saya sebagai orang muda juga pernah mengalaminya dan faham perasaan yang dialami mahasiswa.
“Sebab itu kalau ada perasaan tidak berpuas hati, banyak ruang yang boleh digunakan antaranya sudut pidato yang diwujudkan sejak lama dahulu agar mereka boleh gunakan untuk memberikan pendapat mereka,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sokongan Didikan Projek Kemasyarakatan Powertek Berhad di Kuala Sungai Baru di sini, Jumaat.
Mas Ermieyati berkata pemimpin politik di negara ini tidak sepatutnya menggunakan mahasiswa bagi memperjuangkan agenda peribadi mereka, sebaliknya pemimpin itu perlu bersifat prihatin untuk membantu permasalahan yang dihadapi mahasiswa pada masa ini.
Beliau berkata mahasiswa juga perlu menggunakan kebijaksanaan mereka bagi mengelakkan diri mereka terpengaruh dengan dakyah palsu yang mampu membinasakan negara.
“Saya juga pernah menjadi mahasiswa dan saya kira itu adalah waktu terbaik untuk menggunakan masa serta peluang yang ada di universiti bagi menimba ilmu dan pengalaman serta membuat perkara berfaedah,” katanya.
Mas Ermieyati berkata Puteri Umno bersedia menerima sebarang pandangan atau pendapat dari mana-mana mahasiswa yang ingin membantu kerajaan mengatasi masalah sosial di negara ini.
Beliau berkata pihaknya bersedia untuk mengadakan sebarang dialog mahupun perancangan lain bagi memajukan masyarakat terutamanya generasi muda di negara ini.
“Semua orang boleh bercakap dan menghentam kerajaan tetapi kita tidak memberi pandangan bagaimana untuk mengatasi masalah, jadi kita harapkan kepada golongan belia terutamanya mahasiswa tampil memberi pendapat mereka,” katanya. – BERNAMA