KUALA LUMPUR – Tujuh puluh lapan peratus daripada pelajar antarabangsa yang menuntut di Malaysia pada 2014 adalah dari negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata menurut Education Malaysia Global Services, secara keseluruhannya, lebih 116,000 pelajar antarabangsa dari lebih 160 negara kini menuntut di universiti awam dan swasta serta sekolah antarabangsa di Malaysia.
“Statistik ini menunjukan Malaysia menjadi pusat pendidikan tinggi yang dihormati dan dipercayai dalam sistem antarabangsa.
“Kita adalah antara peneraju utama dalam bidang pendidikan di rantau Asia Tenggara dan menjadi pilihan utama pelajar dari negara OIC untuk mendapatkan pendidikan tinggi,” kata Idris ketika berucap pada Persidangan Pendidikan Tinggi OIC Ketiga di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi OIC World BIZ dan Muslim World BIZ serta Ketua Pegawai Eksekutif OIC International Business Centre Datuk Dr Raja Mohamad Abdullah, Anggota Parlimen Baling Datuk Seri Abd Azeez Abd Rahim dan Presiden Universiti Terbuka Malaysia (OUM) Prof Emeritus Tan Sri Anuwar Ali.
Idris berkata pelajar antarabangsa tahu bahawa di Malaysia, mereka boleh mendapat pendidikan berkualiti dan akreditasi, yuran yang munasabah dan termampu, menikmati kos sara hidup rendah serta keselesaan bertaraf tinggi.
Malaysia telah memperbaiki syarat berkaitan akses dan kualiti pendidikan yang boleh dinikmati pelajar tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Transformasi ini dipandu oleh Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Kebangsaan Malaysia (2007-Selepas 2020) dan Rangka Tindakan Pendidikan Tinggi Malaysia yang akan dibuat penambahbaikan serta dilancarkan tahun depan.
Sementara itu, persidangan dua hari tersebut, yang bermula hari ini, diadakan untuk berkongsi idea tentang cara institusi pendidikan tinggi di Negara Islam boleh meningkatkan kerjasama dengan syarikat perniagaan, kerajaan dan masyarakat umum bagi membolehkan negara anggota OIC mengekalkan daya saing, inovasi dan bergerak secara strategik dalam keadaan ekonomi yang amat tidak menentu. – BERNAMA