KUALA LUMPUR – Malindo Air akan memulakan perkhidmatan di laluan baharu, Melaka-Kota Baharu, empat kali seminggu, masing-masing pada Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad.
Berkuat kuasa 21 Nov, penerbangan dari Kota Baharu akan berlepas pada 10.40 pagi dan tiba di Melaka pada 12.15 tengah hari. Penerbangan balik pada 12.40 tengah hari dan tiba di Kota Baharu pada 2.15 tengah hari.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Chandran Rama Muthy berkata sebagai syarikat penerbangan hibrid, ia mahu memperkukuh kedudukannya dalam sektor domestik, dan teruja dengan pengenalan laluan baharu itu.
“Belum ada syarikat penerbangan lain yang menawarkannya. Dengan penambahan laluan ketiga Melaka dalam sebulan, kami mahu meluaskan lagi potensi sebagai hab antarabangsa di Asia Tenggara,” katanya. – BERNAMA