Isu pelan pemulihan Malaysia Airlines (MAS) diumumkan akhir Ogos lalu oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dengan 12 perkara nampaknya kini makin unik dan mungkin agak pelik apabila tiba-tiba sebuah firma perunding kewangan tiba-tiba muncul tanpa diduga.
Kisah tambah rumit lebih suspens apabila syarikat itu, Jentayu Danaraksa Sdn. Bhd. (Jentayu) dan diterajui bekas Pengarah Urusan MAS, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman muncul pada 6 November lalu dengan idea mahu menyelamatkan MAS yang tenat.
Kebetulan pada tarikh itu, Khazanah mengadakan mesyuarat agung luar biasa bagi pemegang saham minoriti MAS menerima tawaran sayap pelaburan utama kerajaan kita sekali gus menguasai syarikat penerbangan kebangsaan menuju pelan penstrukturan besar-besaran.
MAS akan wujud semula sebagai entiti baharu atau newco dan selaras usaha menutup ‘buku lama’, Khazanah berhasrat mengurangkan 30 peratus kakitangan atau 6,000 staf sekali gus baki 14,000 petugas sedia ada MAS betul-betul jadi seperti ‘kedai’ yang baharu dibuka.
Itu konsep asal Khazanah dan bukan luar biasa bagi syarikat yang diselamatkan daripada terus muflis untuk bangkit semula dengan sasaran MAS versi 2.0 akan kembali mencatat laba selepas tiga tahun beroperasi mengikut garis masa standard industri penerbangan global.
Jentayu cuba ‘menyampuk’ menarik perhatian ramai pihak awal bulan ini termasuk kononnya sudah pun dikenali ramai dan ada pula publisiti apabila diinterviu beberapa akhbar dan stesen TV tertentu bagi menyaingi idea Khazanah dengan pelan alternatif hebat untuk menambahbaik pelan Khazanah.
Khabarnya Jentayu mendakwa ada pelan alternatif untuk melengkapi pelan pemulihan MAS, ironi apabila MYNEWSHUB sendiri minggu lalu menyiarkan siri artikel mempertikaikan pelan mereka sebagai boleh diragui, syarikat itu baharulah tampak realiti berpijak di bumi nyata.
Mungkin terkesan dengan kritikan banyak pihak dan diasak MYNEWSHUB, Jentayu segera mengadakan sidang akhbar tertutup di pejabat Kesatuan Kakitangan MAS (MASEU) di Subang Jaya, Selangor yang memang diketahui sudah berpihak kepada mereka dari awal.
Meskipun hanya menjemput wakil media tertentu, Jentayu masih gagal memperincikan pelan mereka daripada cuba mengulangi isu sama kononnya bagi membantu Khazanah yang akan menyuntik modal RM6 bilion tetapi pelan Jentayu pula masih kabur tanpa hujah konkrit.
Mereka tetap dakwa mampu menguasai aset strategik MAS termasuk membeli 82 pesawat MAS yang kini disewa dari Penerbangan Malaysia Berhad (PMB) selain MAS Engineering yang terkenal di seluruh dunia menerusi aktiviti Maintenance, Repair, Overhaul (MRO).
Ini belum lagi cerita ambil alih anak syarikat MAS, Firefly dan jika ini berlaku, maka tiada apa lagi yang tinggal kepada MAS apabila kelak cuma ada 65 pesawat buruk malah Jentayu akhirnya jadi syarikat penerbangan keempat negara selepas MAS, AirAsia dan Malindo.
Pengarah Urusan Jentayu, Feriz Omar bahkan dilaporkan New Straits Times hari ini tidak menolak kemungkinan jadi syarikat penerbangan terbaharu tetapi inilah dibimbangi ramai peserta industri penerbangan global seumpama MAS 2.0 selepas ini hanya tinggal sejarah.
Lainlah jika Jentayu sendiri mengurus MAS 2.0 namun, berdasarkan laporan akhbar itu, Jentayu sendiri tidak berminat dengan pentadbiran newco MAS apatah lagi nasib 14,000 pekerja MAS yang kekal dalam syarikat penerbangan tersebut dan 65 pesawat yang tinggal.
Fokus Jentayu hanya tumpu kepada 6,000 pekerja MAS yang bakal dibuang atau mungkin diserap kepada lawannya, AirAsia untuk diambil semula sebagai staf Jentayu selain MRO MAS sekali gus ia sudah memadai menjadi asas terbaik Jentayu menjadi Jentayu Airlines.
Seperkara lagi, timbul keraguan dari mana sumber dana Jentayu untuk mengambil alih beberapa aset kepentingan MAS kecuali Feriz hanya menyatakan modal akan dibiayai pelabur Timur Tengah dan Jepun. Persoalannya betulkah wujud dan siapakah mereka itu?
Bayangkanlah akhbar perniagaan ternama The Edge pun meragui kemampuan Jentayu walaupun cuba berlaku adil dengan melihat nama-nama besar yang menjadi barisan orang kuat syarikat itu termasuk memiliki banyak pengalaman dalam industri penerbangan.
Bagi penganalisis tempatan, jaminan itu belum cukup bagi menyaingi Khazanah apatah lagi komitmen dari segi sumber kewangan turut dipertikai dengan melihat perbandingan Projek Omega Alfa pada 2006 lalu, tempoh MAS pernah catat untung sebelum ia kembali rugi.