NEW DELHI – Malaysia Airlines bersama Tourism Malaysia sekali lagi menawarkan tambang dua hala yang sangat menarik, bermula serendah 13,987 rupee untuk pelancong dari India ke Malaysia.
Pelancong dari India boleh menempah perjalanan mereka dari Delhi, Mumbai, Hyderabad, Bangalore, Chennai dan Kochi, ke destinasi popular Malaysia seperti Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu.
Bakal penumpang boleh menempah tiket mereka mulai sekarang hingga 18 Nov, 2014 untuk tempoh penerbangan sehingga 31 Mei, 2015.
“Selepas kejayaan tawaran Tahun Melawat Malaysia sebelum ini, kami teruja untuk membawa semula promosi ini terutama bagi pasaran India,” kata Naib Presiden Kanan Serantau, Asia Selatan dan Timur Tengah Malaysia Airlines, Azahar Hamid dalam satu kenyataan hari ini.
Tambang istimewa ini termasuk cukai lapangan terbang, surcaj, elaun bagasi daftar masuk sebanyak 30 kilogram dan elaun bagasi kabin sehingga 7.0 kilogram untuk Kelas Ekonomi. – BERNAMA