Ketika sedang berjoging dan bersenam di Jalan Kebun Bunga, Pulau Pinang, seorang wanita dikejutkan dengan penemuan sebuah beg pakaian berisi mayat tanpa kepala dan kaki.
Pada mulanya, dia melakukan rutin senaman seperti biasa di kawasan itu sehinggalah tercium bau busuk dari sebuah beg pakaian yang ditinggalkan di sebuah surau.
Curiga dengan kandungan di dalamnya, wanita tersebut bertindak membuka begi itu lantas menemui sepasang tangan terjulur keluar selain kesan darah.
Lantas, dia memaklumkan kepada anggota polis yang bertugas di pondok berdekatan sebelum membuat laporan rasmi di Balai Polis Pulau Tikus, Georgetown.
Tidak lama selepas itu sepasukan anggota forensik tiba di tempat kejadian dan membuat pemeriksaan terhadap mayat mangsa yang berada di dalam beg.
Memetik kenyataan Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Farid Al-Atrash kepada portal The Rakyat Post,  beliau mengesahkan penemuan tersebut dan siasatan terhadap kes itu sedang dilakukan.
Berdasarkan keadaan mayat, beliau percaya mangsa telah dibunuh dan mayatnya dipotong di tempat lain sebelum bahagian badan tersebut dibuang di situ.
Setakat ini, bahagian kepala dan kaki masih belum ditemui. Mayat mangsa telah dihantar di Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat. – MYNEWSHUB.CC