Mayat seorang wanita tanpa kepala dijumpai terapung pada jarak sembilan batu nautika barat daya perairan Pulau Kendi, Georgetown, semalam.
Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 2 Pulau Pinang Kapten Kamaruszaman Abu Hassan berkata mayat wanita itu ditemui sekumpulan nelayan pukat tunda yang menangkap ikan di kawasan itu pada 1.25 tengah hari.
“Tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada wanita yang berkulit cerah dan lengkap berpakaian itu,” katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata keadaan mayat telah mereput dengan kedua belah tangan hingga paras bahu dan kedua kaki hingga pergelangan betis sudah tiada.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Lai Fah Hin berkata mayat wanita itu dipercayai terendam di dalam laut lebih dua minggu.
“Setakat ini kes itu diklasifikasi sebagai kematian mengejut dan kami minta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau rakan supaya menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.
— BERNAMA