Dalam satu kejadian yang berlaku dua hari lalu, seorang daripada empat penjenayah bertindak memohon maaf kepada individu yang ditetaknya selepas tersedar, lelaki tersebut bukanlah sasaran sebenar.
“Maaf, kami tersalah orang,” ujar penjenayah tersebut dalam satu kejadian yang berlaku di tempat letak kereta Jalan Sukma, Petra Jaya, Kuching.
Mungkin tak sampai hati melihat kecederaan yang dialami akibat kesilapan mereka, mangsa kemudiannya dihantar ke hospital swasta untuk mendapatkan rawatan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad, sebelum kejadian, mangsa bersama seorang rakannya berada di kawasan tersebut sebelum didatangi empat individu tak dikenali sambil memegang parang.
Memetik kenyataan Roslan di Harian Metro, “Suspek kemudian menghalang kereta menyebabkan mangsa dan rakan keluar melarikan diri. Bagaimanapun, cubaan mangsa melarikan diri gagal menyebabkan dia ditetak penjenayah terbabit.
Selepas mencederakan mangsa, barulah suspek sedar lelaki itu bukan sasarannya. Salah seorang suspek meminta maaf dan segera menghantarnya ke hospital.”
Mangsa yang berusia 34 tahun mengalami kecederaan di tangan dan kaki berkata, dia tidak mengenali kesemua penjenayah tersebut dan tidak mengetahu motif kejadian yang menimpanya.
Dia kemudiannya membuat laporan polis pada hari sama. Dua suspek ditahan semalam manakala baki masih dalam buruan polis. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR