GELSENKIRCHEN – Pengurus Chelsea, Jose Mourinho tabik anak didiknya yang beraksi cemerlang ketika membaham Schalke 04 dari Jerman, 5-0 dalam saingan Liga Juara-Juara awal pagi tadi.
Juara 2012 itu jelas menguasai permainan dari wisel permulaan untuk terus menerajui Kumpulan G dan layak ke kelompok 16 terakhir.
Pesta gol itu bermula seawal minit kedua hasil jaringan kapten pasukan, John Terry.
“Lazimnya, pasukan yang mendahului 3-0 atau 4-0 akan melakukan kesilapan pertahanan dan membenarkan lawan menjaringkan gol,” kata Mourinho.
“Tapi ia tidak berlaku hari ini. Pasukan ini mantap dan saya percaya kami harus menjaringkan beberapa gol lagi.”
Kelab dari London itu yang mendahului Liga Perdana Inggeris dan tidak tewas daripada 19 perlawanan sejak musim bermula juga menyamai rekod Liga Juara-Juara yang lalu apabila menewaskan Galatasaray 5-0 pada 1999.
“Saya tidak mempercayai Chelsea bermain begini hebat di tempat lawan,” kata Mourinho selepas Willian, Jan Kirchhoff (gol sendiri), Didier Drogba dan Ramires turut menjaringkan gol.
Schalke kini berada di tempat ketiga dengan berbaki satu perlawanan – dua mata di belakang Sporting yang menewaskan pasukan tercorot, Maribor 3-1. – REUTERS