KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini merasmikan Pameran Wanita Kreatif 2014 anjuran Sekretariat Pembangunan Ekonomi dan Usahawan Pergerakan Wanita Umno di bawah Biro Ekonomi pergerakan berkenaan.
Muhyiddin turut meluangkan masa melawat ruang pameran di tingkat lima Pusat Dagangan Dunia Putra itu, yang menyerlahkan bakat dan seni kreatif usahawan wanita melalui produk seperti batik, tekat dan anyaman.
Bercakap kepada pemberita selepas perasmian, Pengerusi sekretariat, Datuk Noraini Ahmad berkata program itu bertujuan mempromosi hasil seni kreatif tradisional oleh usahawan kecil terutamanya dari luar bandar.
“Kita juga mengharapkan program hari ini akan menjadi medan padanan perniagaan bagi usahawan-usahawan kita,” katanya.
Noraini berkata sekretariat berkenaan dalam peringkat terakhir untuk membangunkan pangkalan data usahawan wanita yang akan membuka peluang kepada usahawan untuk mempromosikan dan mengadakan padanan perniagaan secara dalam talian.
“Pangkalan data ini akan mengumpul usahawan wanita tempatan dan akan menjadi tempat ‘perjumpaan’ antara penjual dan pembeli pelbagai produk yang mungkin lebih murah daripada harga biasa,” katanya. – BERNAMA