KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini menghadiri majlis makan malam amal gala yang diadakan bersempena Kejohanan Formula E (ePrix) di Putrajaya esok.
Najib diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor ke majlis separa rasmi berprestij itu.
Fokus utama majlis makan malam amal itu adalah acara lelongan langsung yang menawarkan memorabilia unik Formula E, termasuk baju pemandu yang menjuarai perlumbaan, tayar dan stereng.
Perlumbaan Formula E adalah kejohanan baharu FIA melibatkan kereta elektrik sepenuhnya yang berlangsung di litar jalanan di 10 bandar raya utama di seluruh dunia.
Putrajaya dengan litar jalanan sepanjang 2.56km akan menjadi venue kedua
ePrix selepas acara itu diadakan di Beijing, China pada 13 Sept.
Antara pemandu terkenal yang disenaraikan dalam perlumbaan esok ialah bekas pemandu Formula 1 Jarno Trulli, Jaime Alguersuari, Sebastien Buemi, Lucas di Grassi, Brunno Senna dan Nick Heidfeld. – BERNAMA