KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap mutu pendidikan di negara ini akan menjadi antara yang terbaik di dunia menerusi perubahan-perubahan yang sedang diperjuangkan kerajaan.
Beliau berkata kerajaan, menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang sedang diusahakan, bertujuan mentransformasikan sistem pendidikan negara.
“Ini supaya dapat melahirkan individu-individu yang lebih kreatif, berkebolehan berfikir serta mampu untuk bersaing dalam dunia yang lebih kompetitif ini,” katanya menerusi siaran radio beliau di dalam blognya www.najibrazak.com hari ini.
Najib berkata kerajaan sedar bahawa sistem pendidikan negara perlu terus ditambah baik bagi melahirkan individu berpengetahuan, beretika dan mempunyai daya saing lebih tinggi.
“Dalam sejarah negara kita, pada tahun 1996, sewaktu saya menjadi Menteri Pendidikan, telah dilakukan rombakan yang besar pada sistem pendidikan negara, antaranya membolehkan peranan pendidikan swasta diperluaskan.
“Saya harap dengan perubahan-perubahan yang sedang diperjuangkan oleh kerajaan akan menjadikan mutu pendidikan khususnya di sekolah-sekolah kebangsaan lebih baik dan antara yang terbaik di dunia,” katanya. – BERNAMA