KUALA LUMPUR – Dalam kesibukan Datuk Seri Najib Tun Razak yang baru sahaja selesai membentangkan Kertas Putih bagi menangani ancaman kumpulan militan di Parlimen pagi ini, beliau masih sempat meluangkan masa meninjau Perhimpunan Agung Wanita dan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Kertas Putih ‘Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Islamic State (IS)’ itu dibentangkan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini sebagai usaha kerajaan membendung ideologi kumpulan militan IS, dan mencadangkan undang-undang baharu bagi membanteras penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti militan dan pengganasan.
Najib, yang tiba pada 12.20 tengah hari dari Parlimen, terus memasuki Dewan Merdeka untuk mendengar sesi perbahasan oleh perwakilan Puteri Umno diiringi Setiausaha Kerja, Datuk Abdul Rauf Yusoh.
Kehadiran Presiden Umno itu disambut tepukan gemuruh dan sorakan hangat para perwakilan Puteri yang sedang menumpukan perhatian kepada penyokong ucapan dasar ketua pergerakan tersebut iaitu Junaida Mat Ishak dari Bahagian Padang Besar, Perlis.
Sejurus kemudian, Perdana Menteri beralih ke Perhimpunan Agung Wanita Umno yang berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail yang menyaksikan perwakilan dari Bahagian Batu Kawan, Pulau Pinang, Rohaya Abu Ismail sedang membahaskan ucapan dasar ketua pergerakan sayap itu.
Dewan juga bergemuruh dengan laungan ‘Hidup Melayu’ oleh perwakilan Wanita apabila Najib bergerak meninggalkan majlis.
Bagaimanapun, Najib tidak sempat melawat Perhimpunan Agung Pemuda memandangkan mereka telah berhenti rehat.
Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno diadakan serentak hari ini selepas dirasmikan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi.
Najib, kemudiannya terus melawat Pusat Perubatan Mini yang disediakan di Aras 4 PWTC dan sempat beramah mesra dengan seorang pesakit wanita yang berada di situ sebelum beredar.
Beliau dijadual mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Khas Umno malam ini, sebelum menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung parti itu esok. – BERNAMA