BEIJING – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di sini malam tadi untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi (AELM), Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) selama dua hari bermula hari ini.
AELM yang akan dipengerusikan Presiden China, Xi Jinping, bertemakan ‘Mencorak Masa Depan menerusi Kerjasama Asia Pasifik’.
Ketibaan Najib yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing kira-kira 9 malam waktu tempatan, disambut oleh Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Iskandar Sarudin.
Hadir sama di lapangan terbang menyambut Perdana Menteri, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainudin, pegawai Jabatan Perdana Menteri, Pegawai Kedutaan (China) dan wakil pihak berkuasa tempatan Beijing.
Najib yang juga Menteri Kewangan, mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak itu.
Pada AELM ke-22, perdana menteri dijadual membincangkan tiga keutamaan APEC 2014: meningkatkan penyepaduan ekonomi serantau, mempromosi pembangunan inovatif, pembaharuan ekonomi dan mengukuhkan perhubungan secara menyeluruh serta pembangunan infrastruktur.
Selain itu, beliau dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala secara berturut-turut bagi membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Pertemuan penting ialah antara Perdana Menteri dengan pemimpin negara tuan rumah APEC tahun ini, Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menterinya Li Keqiang, sebelum dijadualkan menemui Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Terdahulu, Duta Besar Malaysia ke China, Iskandar memberitahu wartawan Malaysia bahawa pertemuan itu adalah yang kedua antara Najib dan Xi serta Li Keqiang dalam tempoh beberapa bulan tahun ini.
Pada kesempatan ini, ketiga-tiga pemimpin itu akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu dua hala dan lebih istimewa, kedua-dua negara menyambut ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik, dengan Najib melawat ke China pada Mei lepas, katanya.
“Peranan dan kepimpinan Malaysia tahun depan dan tahun-tahun berikutnya akan menjadi amat penting, lebih-lebih lagi negara akan menjadi pengerusi ASEAN tahun depan, dan Malaysia pula baru-baru ini terpilih sebagai antara lima anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC),” katanya.
Mesyuarat tahunan ini akan menghimpunkan para pemimpin daripada kumpulan 21 ekonomi yang akan membincangkan pelbagai isu, termasuk strategi masa depan rantau, terutama mempromosi perdagangan dan liberalisasi pelaburan, memperkukuh penyepaduan ekonomi serta memudahkan pertumbuhan inovatif.
Ekonomi APEC menyumbang 45 peratus perdagangan dunia dan separuh daripada jumlah keluaran negara kasar. – BERNAMA