PELAKON dan pengacara cantik, Neelofa Mohd Noor mendedahkan dia tidak akan mengacara lagi program wanita Nona untuk tahun hadapan.
Ini kerana tempoh tiga tahun yang ditimba sebagai pengacara program tersebut sudah banyak memberikan pengalaman dan kini sudah tiba masa untuknya mengacarakan program-program lain pula.
“Kontrak saya bersama Nona akan tamat tahun ini. Saya tidak akan sambung mengacarakan program itu. Bagi saya cukuplah tiga tahun saya menempa nama dalam program tersebut.
“Saya bersyukur kerana menjadi sebahagian daripada pengacara program popular itu. Kalau boleh, saya mahu mengacarakan program lain pula selepas ini,” katanya memetik laporan sebuah akhbar tempatan.
Neelofa sebelum ini mengacarakan program tersebut bersama-sama Fara Fauzana.
Sebelum Neelofa dan Fara, peranan sebagai pengacara Nona pernah digalas selebriti Vanidah Imran, Datin Normala Samsudin dan Maya Karin.
Jadi, kita tunggu dan lihat selebriti mana pula yang akan menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Neelofa.
Penggantinya kelak tentulah kena  secantik dan seanggun Neelofa, baru boleh terus tarik penonton untuk melekat depan kaca tv. Tak gitu? – MYNEWSHUB.CC