KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad mahu menyaman Peguam Negara atas dakwaan berniat jahat ke atas beliau.
Nik Nazmi berkata, beliau mahu mengemukakan saman itu selepas dibebaskan buat kali keempat daripada tuduhan bawah Akta Perhimpunan Aman oleh mahkamah.
“Alhamdulillah. Dibebaskan kali keempat daripada tuduhan bawah Akta Perhimpunan Aman oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam (hari ini).
“Saya juga meminta peguam saya mempercepatkan proses menyaman Peguam Negara atas pendakwaan berniat jahat,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.
Nik Nazmi berkata, beliau dibebaskan daripada tuduhan selepas mahkamah menolak rayuan pendakwa raya.
Katanya, peguam N.Surendran memaklumkan beliau mungkin memegang rekod paling banyak kali dibebaskan daripada tuduhan yang sama dalam sejarah perundangan Malaysia
“Harapan saya biarlah Peguam Negara tumpu dakwa penjenayah sebenar yang masih ramai,” katanya.
Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak rayuan pihak pendakwaan berhubung pembebasan Nik Nazmi daripada pertuduhan menganjurkan perhimpunan Black 505 di Stadium Kelana Jaya pada 8 Mei tahun lalu. – mynewshub.cc