WASHINGTON DC – Parti Republican sekali lagi mencipta kemenangan besar menguasai Senat Amerika Syarikat (AS) pada pilihan raya separuh penggal yang berlangsung sengit semalam, sekali gus menyukarkan pentadbiran berbaki dua tahun Presiden Barack Obama.
Pemilihan bagi jawatan 36 senator, 36 gabenor negeri dan keseluruhan 435 anggota Dewan Perwakilan Rendah menyaksikan Republican muncul parti majoriti di kedua-dua dewan Kongres AS buat kali pertama sejak pilihan raya pertengahan penggal 2006 lalu.
Penganalisis merumuskan kekalahan teruk Democrat akibat rasa tidak gembira rakyat terhadap dasar Obama selain kebimbangan ekonomi dan menjadikan Presiden AS itu kini terpaksa lebih banyak ‘tawar-menawar’ jika mahu sesuatu usul diluluskan wakil Republican.
Obama perlu juga berhati-hati mendapatkan persetujuan Kongres tetapi ramai melihat keputusan itu bakal menyebabkan presiden banyak guna kuasa eksekutif tanpa perlu kelulusan legislatif dalam isu sensitif seperti perjanjian perdagangan global dan reformasi percukaian.
Bagaimanapun Republican melihat penguasaan parti itu sebagai persediaan awal untuk mengambil alih kepimpinan White House daripada Democrat menjelang tamatnya tempoh pentadbiran Obama selama maksimum dua penggal pada 2016 kelak.
Republican dilaporkan berjaya menawan negeri-negeri yang selama ini dianggap sebagai kubu kuat tradisi Democrat antaranya Iowa, North Carolina, Montana, Colorado, West Virginia, South Dakota dan Arkansas. – Agensi
– AMREE AHMAD