KUANTAN – Selepas mencipta sejarah berjalan kaki secara solo sejauh 280 kilometer dari Kuantan ke Stadium Shah Alam, Selangor setelah Pahang menamatkan penantian 21 tahun menjulang Piala Malaysia tahun lepas, seorang bekas pengawal keselamatan melakukan perkara serupa tahun ini.
Hari ini, dua hari selepas skuad Tok Gajah menjuarai piala berprestij itu buat kali kedua-dua berturut-turut, Abdul Majid Abdul Hamid, 58, atau Pak Majid sekali lagi membuat kejutan bagi menunaikan nazarnya untuk berjalan kaki mengelilingi Semenanjung Malaysia.
Memulakan langkah tepat 9.30 pagi dari Stadium Darul Makmur di sini, beliau yang ditemui selepas sejam berjalan kaki, berharap usaha yang cuba dilakukannya itu akan dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
“Apa yang saya lakukan bukan mencari glamor atau apa-apa imbuhan tetapi sebagai peminat setia Pahang atas kejayaan pasukan itu merangkul Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut,” katanya yang berbekalkan beberapa helai pakaian serta membawa bendera Pahang dan Malaysia dalam perjalanan itu.
Abdul Majid berkata, beliau tidak terganggu jika ada pihak yang mengkritik usaha tersendiri yang dilakukannya itu, sebagai tanda sokongan kepada skuad Tok Gajah.
“Saya rasa gembira dan tidak menyangka, dalam tempoh satu jam berjalan kaki, ramai penduduk memberi sokongan termasuk membunyikan hon kenderaan dan berhenti mengambil gambar kenangan bersama saya,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan yang dicipta sebelum ini, mendorong beliau untuk sekali lagi menunaikan nazarnya itu, kali ini.
Abdul Majid berkata, beliau akan memulakan perjalanan menuju ke Keratong, Rompin menggunakan laluan Kuantan-Segamat dan memasuki Melaka sebelum melalui destinasi lain dan dijangka menamatkan perjalanan itu dalam masa dua bulan di Stadium Darul Makmur.
Seorang peminat pasukan Pahang, Rosli Rozak, 38, berkata beliau kagum dengan usaha yang dilakukan Pak Majid itu dan menganggapnya sesuatu yang luar biasa berikutan faktor umur beliau sekarang.
Pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lepas, Pahang menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas masa tambahan. – BERNAMA