NEW YORK – Laluan pejalan kaki paling popular dalam kalangan pelancong, Times Square di sini mencatat sejarah baharu apabila sebuah skrin iklan gergasi dengan paparan resolusi imej paling tinggi di dunia mula beroperasi malam tadi, lapor New York Times (NYT).
Panel skrin jenis LED itu dengan 24 juta pixel sekali gus mampu menyiarkan visual digital paling jelas di dunia dan ia berkeluasan 2,400 meter persegi, hampir menyamai saiz sebuah padang bola sepak; selain juga berupaya menghasilkan audio bunyi runut muzikal.
Papan iklan setinggi lapan tingkat itu terletak di sebelah sebuah hotel antara jalan 45th dan 46th Street Broadway mula menyiarkan komersial imej pelancongan memaparkan keindahan gunung, burung, pencakar langit dan pelangi sekitar Amerika Syarikat.
Dengan kesan audio dan visual amat jitu, kos sewa panel iklan itu masih dirahsiakan Presiden Clear Channel Outdoor New York, Harry Coghlan, agensi yang mengurus skrin tersebut namun menurut NYT, ia dalam bajet AS$2.5 juta (RM8.4 juta) untuk empat minggu.
Buat masa ini komersial yang ditayangkan hanya berbentuk visual pemandangan disediakan studio Universal Everything sebelum diambil alih pula oleh firma Google pada Isnin depan untuk menyiarkan iklan tempahan pelanggan mereka sehingga 1 Januari 2015.
Setiap tahun, Times Square yang dinamakan sempena lokasi ibu pejabat NYT sejak 1904; menjadi tumpuan lebih 39 juta pelancong yang mahu merasai pengalaman berada di pusat bandar New York sambil menonton puluhan papan iklan elektronik berwarna-warni.
Namun skrin komersial di Times Square itu bukan paling besar di dunia kerana rekod Guinness masih mengekalkan papan iklan digital keluaran firma LG Electronics dari Korea Selatan dekat lapangan terbang antarabangsa Raja Khaled di Riyadh, Arab Saudi. – Agensi