KUALA LUMPUR – Pasukan Johor yang tewas dalam Kejohanan Piala Emas Raja-Raja 2014 baru-baru ini tidak diselia oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).
Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, pasukan itu sebaliknya diuruskan secara bebas oleh Persatuan Bola Sepak Melayu di bawah kelolaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Saya berpandangan kejohanan seperti ini, selain mempunyai persatuan-persatuan bola sepak Melayu, Cina dan India tidak membantu perpaduan rakyat.
“Sepatutnya sukan terutamanya bola sepak tidak membezakan antara kaum dan harus bernaung di bawah satu persatuan untuk seluruh rakyat,” titah baginda dalam satu kenyataan media hari ini.
Baginda menjawab kritikan ramai pengguna media sosial perbelanjaan besar pembangunan bola sepak johor oleh TMJ satu kegagalan apabila pasukan dari negeri itu tewas teruk pada Kejohanan Piala Emas Raja-Raja 2014.
Sehubungan itu, Tunku Ismail menyelar pihak yang membuat tohmahan ke atas PBNJ sebagai golongan `keyboard warriors’ yang memang berhasrat melemahkan pasukan Harimau Selatan dan bersungguh-sungguh mahu menjatuhkan bola sepak Johor.
“Terima kasih kerana JDT sentiasa berada didalam fikiran anda.Kalau hendak melihat kami putus asa dan gagal, bersedialah menanti seberapa lama, ibarat menunggu matahari membeku,” titah baginda.
Justeru, TMJ turut mengumumkan PBNJ akan memperuntukkan sebanyak RM120 juta untuk program pembangunan akar umbi, termasuk infrastruktur dan fasiliti berkaitan bola sepak Johor. – mynewshub.cc