GEORGETOWN – Ruang pejabat di tingkat dua bangunan hospital pakar mata swasta di Jalan Masjid Negeri di sini, musnah dalam kebakaran hari ini. Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Zulkapri Ramli, berkata kebakaran jam 2.10 petang itu memusnahkan hampir 80 peratus pejabat berkeluasan 11×12 meter persegi itu.
“Ketika kejadian terdapat 10 kakitangan hospital sedang bertugas dan mereka tidak sempat menyelamatkan dokumen serta peralatan pejabat yang terdapat di ruang itu kerana api merebak dengan pantas,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, empat jentera dengan 21 anggota mengambil masa hampir sejam untuk memadamkan kebakaran sepenuhnya.
“Seorang anggota kami, Kamalruzi Mohd Noor, 54, cedera di jari manis kiri akibat terkena serpihan kaca tajam yang menembusi sarung tangannya,” katanya.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat. – BERNAMA