Seorang pelajar tingkatan empat dipercayai hilang selepas menyertai satu perlmubaan maraton di kawasan perkelahan Sekayu, Kuala Berang di Hulu Terengganu petang semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Hussin Deraman berkata, pelajar itu Ahmad Rafikin Azman, 16, tidak menghabiskan maraton Gunung Gajah Terom, membuatkan bapanya Azman Othman, 50, membuat laporan polis pada pukul 6 petang,
Sebelum itu, Azman memaklumkan penganjur kerana gagal menemui anaknya, pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud di Kuala Terengganu yang sepatutnya dijemput pulang pada pukul 3 petang.
Semua 32 peserta lain kecuali Ahmad Rafikin telah tiba pada masa itu, menurut laporan Mstar Online.
“Selepas menunggu beberapa lama, Azman yang juga Penolong Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), membuat laporan polis,” kata Hussin.
Difahamkan Ahmad Rafikin tidur di sebuah khemah di lokasi itu pada 31 Okt dan meninggalkan telefon bimbitnya di rumah.
Operasi mengesan pelajar itu digerakkan oleh 42 orang anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, RELA dan penduduk kampung.
Menurut wakil Urusetia maraton Mohd Rafi Kori, Ahmad Rafikin hanya melalui pusat pemeriksaan pertama trek perlumbaan itu tetapi tidak kelihatan sehinggalah ke garisan penamat dalam kategori junior 12 km yang disertai.
Acara marathon itu disertai 540 peserta pelbagai peringkat umur bermula pada pukul 8.15 pagi.
Perlumbaan itu dianjurkan Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Terengganu dan diuruskan oleh Persatuan Kembara Negara. – MYNEWSHUB.CC