PETALING JAYA – Seorang pemandu jengkaut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mengugut Timbalan Menteri Pendidikan II, P.Kamalanathan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), tahun lepas.
M.Gunalan, 36, didakwa menghantar SMS berbaur ugutan dan mendatangkan ketakutan kepada Kamalanathan, 49, dengan menggunakan nombor telefon 017 3493150 pada pukul 2.26 pagi, 20 Okt tahun lepas.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di alamat No.13, Jalan Cewai 6/17, Seksyen 6, Kota Damansara di sini.
Gunalan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama mengikut Seksyen 507 kanun sama dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Tan Gin Han menawarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, namun peguam tertuduh, Mohd Yusri Mohd Yusoff memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya itu penanggung tunggal keluarga dan mempunyai seorang anak berumur dua tahun.
Hakim Yasmin Abdul Razak membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Dis ini untuk sebutan semula kes.
Adik tertuduh hadir membayar jaminan tersebut.
Media sebelum ini melaporkan, tiga lelaki ditahan kerana didakwa menghantar SMS itu pada 16 Okt dan 20 Okt 2013 kepada Kamalanathan, yang juga Anggota Parlimen Hulu Selangor.
Dalam SMS ugutan tersebut, mereka mendakwa sebagai kumpulan kongsi gelap. – BERNAMA