Dalam ucapan ‘menutup tirai’ Perhimpunan Agung UMNO 2014, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden UMNO menggelar pembangkang sebagai ibu segala korupsi.
Beliau kemudiannya mengambil contoh kes Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang mendakwa telah disogok RM100 juta sebagai habuan andai berjaya menarik 10 ahli parlimen BN dari Sabah untuk melompat parti.
[BACA DI SINI: Anifah Dakwa Ditawar RM100 Juta Jika 10 MP BN Berpaling]
“Mereka ini the mother of all corruption. Kita dituduh macam-macam (oleh pembangkang),” petik ujarannya dari portal Malaysiakini.
“Jangan ingat sangat kita yang teruk, pembangkang lagi teruk.”
Anifah baru-baru ini memberitahu mahkamah bahawa rakan ketua Pembangkang yang juga bekas Timbalan Pengerusi Eksekutif KFC, Datuk Ishak Ismail pernah menawarkan RM100 juta jika berjaya membawa 10 MP BN Sabah keluar dari parti.
Kejadian tersebut didakwa berlaku di sebuah hotel di Kuala Lumpur sekitar tahun 2008.
Dalam ucapan sama, Najib turut memberi contoh bagaimana seorang pemimpin meminta wakil rakyat dari PKR meletakkan jawatan demi melunaskan hasrat meletakkan isteri sendiri bertanding di kawasan dikehendaki.
Walaupun tidak menyebut nama, ia terang-terang merujuk Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan isterinya, Datin Seri Wan Azizah di kerusi Kajang.
“Ia adalah nepotisme. The biggest form of nepotisme.” – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR