GEORGETOWN – Perjalanan pendayung solo negara, Nadzeri Mustaffa yang berkayak mengelilingi Semenanjung Malaysia kini berbaki 160 kilometer selepas tiba di perairan Pulau Pinang semalam.
Memulakan Ekspedisi Dayungan 1Malaysia untuk Gaza sejauh 2,000 kilometer itu pada 20 Sept dari Pengkalan Kubor, Kelantan, Nadzeri, 50, dijangka tiba ke hentian terakhir di Pulau Langkawi pada 23 Nov ini.
Anak kelahiran Kodiang, Kedah, yang menetap di Kuala Lumpur itu menyifatkan ekspedisi fasa terakhir itu sebagai nostalgia kerana di situlah detik permulaan penglibatannya dalam sukan kayak ketika berumur 20-an.
“Insya Allah jika semuanya selamat saya ingin mendedikasikan kejayaan ini kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir.
“Segala kepayahan meredah lautan bersendirian, kadangkala dalam cuaca ekstrem ini semua sangat bermakna dan berharga buat saya…kerana itu saya ingin hadiahkan kejayaan ini kepada mereka,” katanya kepada pemberita di Jeti Pasukan Polis Marin, Batu Uban di sini hari ini.
Nadzeri, seorang ahli perniagaan yang pernah menjadi jurulatih sukan kayak kebangsaan pada 1980-an, berkata ekspedisi itu sebagai simbolik membantah kekejaman Zionis di Palestin dan menunjukkan solidariti terhadap nahas pesawat Malaysia Airlines MH17.
Menceritakan pengalamannya berkayak, katanya beliau ditemani sekawan ikan lumba-lumba di perairan Kuala Linggi, Melaka di samping bertemu penyu besar yang timbul di sisi kayaknya adalah kenangan termanis setakat ini.
“Ikan lumba-lumba itu berenang dan bermain di sekeliling kayak saya dengan seekornya melintas di bawah kayak dan melompat-lompat seperti berinteraksi dengan saya,” katanya.
Nadzeri berkata Perairan Kota Tinggi, Johor adalah laluan mencabar apabila beliau berdepan ombak besar dan dipukul ribut terutama di kawasan Tanjung Sedili dan Tanjung Balau.
“Saya sentiasa memastikan sebelah kanan adalah daratan dan selalu mengesahkan ketibaan di mana-mana perairan dengan pihak berkuasa maritim supaya perjalanan tidak tersasar,” katanya.
Beliau berkata sasaran seterusnya ialah mendayung secara solo ke Gaza pada 2016 meliputi jarak 16,000 kilometer dan sebelum itu akan ke perairan Borneo tahun depan. – BERNAMA