GEORGETOWN – Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang mahu kerajaan negeri pimpinan DAP memandang serius aktiviti penggondolan cerun bukit yang didakwa semakin berleluasa di negeri ini.
Setiausaha BN negeri, Datuk Omar Faudzar, berkata jika kerajaan negeri gagal menguatkuasakan undang-undang pembangunan di lereng bukit, ia terdedah kepada kemungkinan berlakunya hakisan tanah dan tanah runtuh yang membahayakan penduduk sekitar.
“Musim tengkujuh yang sedang melanda negara pada ketika ini menyaksikan taburan hujan yang lebih daripada kadar biasa dan akan mendatangkan kesan kepada pergerakan tanah pada lereng bukit yang sudah ditarah.
“Kami (BN) juga tidak menolak kemungkinan tragedi di Cameron Highlands, Pahang dan tragedi Highland Tower di Hulu Klang, Selangor akan berlaku di negeri ini berdasarkan kepada keadaan kebanyakan cerun bukit (telah ditarah) di Pulau Pinang pada ketika ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya tinjauan dan semakan BN Pulau Pinang terhadap cerun bukit di negeri ini mendapati banyak cerun bukit diratakan bagi tujuan pembangunan hartanah mewah dan kes pencerobohan tanah di cerun bukit bagi tujuan pertanian.
Omar berkata antara kawasan yang berisiko berlaku tanah runtuh ialah Bukit Gambir, Bukit Bendera, Paya Terubong, Relau dan Sungai Ara di bahagian pulau manakala di Seberang Prai pula bukit banyak ditarah untuk kerja kuari di kawasan Berapit dan Penanti.
“Perbincangan pimpinan BN Pulau Pinang dengan pakar geologis tempatan baru-baru ini berhubung pembangunan cerun bukit di negeri ini mendapati kepadatan tanah kawasan berbukit di Pulau Pinang kini tidak lagi normal dan hanya menunggu tempoh untuk berlakunya pergerakan tanah secara besar-besaran,” katanya.
Katanya pihaknya bimbang pergerakan tanah di cerun bukit akan mendatangkan hakisan tanah dan membawa kepada bencana tanah runtuh serta banjir kilat.
“Kes berkenaan pernah berlaku di Paya Terubong pada tahun 1990-an dan kerajaan negeri sekarang ini perlu mengambil iktibar atas insiden itu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya berharap kerajaan negeri menghentikan dasar mesra pemaju yang tidak munasabah dalam isu pembangunan cerun bukit di Pulau Pinang yang jelas membahayakan nyawa rakyat Pulau Mutiara.
“Saya percaya, wakil rakyat Pakatan Rakyat bersama kami dalam perkara ini menentang tindakan kerajaan negeri yang lembap mengatasi masalah cerun bukitdigondol di Pulau Pinang,” katanya. – BERNAMA