KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan pengurus pasukan bola sepak kebangsaan langsung tidak hadir semasa latihan Harimau Malaya di Stadium Larkin baru-baru ini.
Baginda bertitah, sikap yang ditunjukkan oleh pengurus pasukan bola sepak Malaysia itu sangat tidak profesional kerana tidak memberi sepenuh komitmen kepada pasukan negara.
Titah baginda, pasukan kebangsaan perlu mempunyai pengurusan yang profesional untuk terus maju maka kepimpinannya tidak boleh lebih mementingkan hal-hal peribadi.
“Semasa program latihan diadakan di Johor Bahru, pengurus pasukan kebangsaan langsung tidak hadir untuk menyaksikan latihan dan memberikan sokongan moral kepada pasukan.
“Adakah individu dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) orang yang memegang jawatan untuk kepentingan politik. Seharusnya, orang yang memegang jawatan harus memainkan peranan dan menjalankan tanggungjawab dengan berkesan,” tegas baginda dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, TMJ yang baharu dilantik sebagai penasihat Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, menyarankan agar melantik individu yang benar-benar komited kerana sayangkan bola sepak Malaysia dan bukan atas kepentingan peribadi.
Titah baginda, sebuah organisasi bola sepak perlu diuruskan oleh mereka yang bersikap profesional dan memahami struktur sukan bola sepak serta boleh menjalankan tugas dan menyumbang bakti.
Mengulas prestasi kurang memberangsangkan skuad Harimau Malaya dalam persiapan menghadapi Kejohanan Piala Suzuki 2014, baginda menganggap pemain Malaysia kurang bersemangat kerana pengurusan bola sepak kebangsaan tidak mengambil berat kebajikan mereka.
Antaranya waktu rehat dan cuti para pemain kerana mereka terpaksa melapor diri satu hari selepas tamat kejohanan liga tempatan.
“Pemain bukannya robot, pemain adalah manusia. Perkara-perkara kecil sebegini adalah satu isu yang kita perlu prihatin. Ini adalah satu isu mengapa saya lihat pemain kurang punyai semangat,” titah baginda.
Baginda turut mempersoalkan jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh tidak menyenaraikan penerima anugerah penyerang terbaik, Nor Farhan dan penerima angurah pertahanan terbaik, Razman Roslan dalam skuad kebangsaan. – MYNEWSHUB.CC