CALIFORNIA – Bimbang dengan kekuatan Russia dan China, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Chuck Hagel, berkata Pentagon akan mengetengahkan pemikiran baharu dan idea kreatif mengenai cara AS dapat mengekal dan menambah kekuatan tentera biarpun berhadapan kekangan bajet dan peperangan selama 13 tahun.
Berikutan itu, Hegal mengumumkan dasar “inisiatif inovasi pertahanan” yang beliau samakan dengan sejarah dan kejayaan kempen semasa Perang Dingin bagi mengimbangi kelebihan musuh.
“Kita perlu mengubah cara kita berinovasi, beroperasi dan bekerja,” katanya dalam ucapan yang disediakan untuk satu forum pertahanan di California semalam.
Dalam memorandum kepada kepada pegawai Pentagon, Hagel menegaskan Washington tidak boleh kehilangan kelebihan dalam teknologi ketenteraan.
“Ketika kita terbabit dalam dua peperangan besar sejak 13 tahun lalu, mereka yang berpotensi menjadi musuh telah memodenkan tentera mereka, membangun dan memperkembangkan keupayaan untuk menggugat di seluruh spektrum konflik. Ini adalah cabaran yang jelas dan semakin besar kepada kuasa ketenteraan kita,” katanya.
Hagel berkata, AS tidak lagi boleh berehat atau menganggap kekuatan ketenteraan yang dibangunkan semasa Perang Dingin lalu akan berterusan secara automatik.
Katanya, beliau akan melancarkan program penyelidikan dan pembangunan jangka panjang untuk mencari dan melaksanakan pencapaian dalam bidang teknologi utama termasuk robotik, pengecilan dan teknik pembuatan termaju seperti pencetakan 3-D. – AP