KUALA LUMPUR – Sebanyak 70 kelab pemilik kenderaan dari seluruh negara akan berkampung di Presint 3, Putrajaya bermula esok hingga 16 November ini bagi menyertai Karnival Mega Autoshow dan Perhimpunan Kelab Kereta Terbesar tahun ini.
Presiden Persatuan Autoshow Malaysia (PAM), Mohd. Roslan Mohd. Rafi berkata, perhimpunan itu akan diadakan di belakang Istana Kehakiman di Putrajaya.
“Karnival dan perhimpunan ini bertujuan meningkatkan lagi aktiviti riadah permotoran dalam negara.
“Program yang menghimpunkan 70 kelab pemilik kenderaan akan dicatatkan dalam Malaysia Book of Record sebagai Himpunan Kelab Pemilik Kenderaaan Terbanyak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Mohd. Roslan menjemput orang ramai hadir pada karnival itu bagi memeriahkan lagi aturcara program berkenaan.