ALOR SETAR – Polis Daerah Kota Setar merampas sepucuk pistol tiruan jenis Desert Eangle 50AE buatan Israel Military Industries Ltd di sebuah rumah di Batu 6 1/2 Simpang Empat dekat sini Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Adzaman Mohd Jan berkata dalam serbuan kira-kira pukul 4 petang itu, pihaknya turut menahan seorang penganggur berusia 32 tahun.
Beliau berkata hasil maklumat awam, pihaknya menemui pistol tersebut, peluru plastik dan gas pistol yang disorok dalam bilik utama rumah tersebut.
Katanya hasil siasatan awal mendapati suspek membeli pistol itu di Thailand dengan harga RM1,000 kononnya untuk menembak musang yang sering berkeliaran di rumahnya.
“Kita sedang menyiasat motif suspek memiliki pistol tersebut kerana pistol tersebut boleh membunuh sekiranya menggunakan peluru besi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di sini hari ini.
Adzaman berkata suspek kini direman bermula Ahad lepas sehingga Khamis ini bagi membantu siastan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960.
Sementara itu, polis melumpuhkan kegiatan mencuri motosikal berikutan penahanan 11 suspek berusia antara 16 hingga 23 tahun dalam serbuan berasingan pada 19 Okt lepas di bawah Ops Lejang.
Beliau berkata dua suspek berusia 16 dan 19 tahun dikesan mencuri sebuah motosikal di Stadium Darul Aman ketika perlawanan bola sepak Piala Malaysia antara Kedah dengan Pahang, kira-kira pukul 9 malam.
Katanya selepas tertangkapnya dua suspek tersebut, pihaknya turut menahan sembilan lagi suspek berusia 17 hingga 23 tahun di sekitar sini pada 19 dan 20 Okt.
“Dengan tertangkapnya 11 suspek itu, kita berjaya selesaikan satu kes pecah bengkel, dua kecurian kereta, satu kes pecah sekolah dan tujuh kes kecurian motosikal,” katanya.
Beliau berkata kesemua suspek direman sejak 20 Okt sehingga Khamis ini bagi membantu siastan. – BERNAMA