KISAH 1Malaysia Development Berhad nampaknya semakin panas selepas beberapa pemimpin pembangkang sejak akhir-akhir ini cuba menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat berhubung ketelusan agensi pelaburan kerajaan itu yang kononnya tidak telus mendedahkan aktiviti perniagaan mereka sehingga mencetuskan persepsi kurang baik oleh orang awam.
Isu-isu strategik bisnes seperti terbitan bon pada kadar faedah tinggi, paras hutang, pembelian aset melebihi harga sepatutnya, layanan istimewa diterima 1MDB dan perbelanjaan tinggi untuk memenangi projek tertentu antara beberapa contoh ketara permainan pembangkang yang berjaya manipulasi secara keterlaluan selain menimbulkan tanggapan serong kepada kerajaan.
Ini memaksa Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan bekerja keras menangkis dakyah tohmahan pihak pembangkang menerusi pelbagai platform malah beliau nyaris dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) dan 80A kerana tuduhan mengelirukan ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Mujur usul yang dibawa Ahli Parlimen PKR Pandan, Rafizi Ramli ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia selepas berpuas hati dengan pembetulan pada kekeliruan kenyataan Ahmad di samping tindakan proaktif Pengerusi 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin mengadakan sidang akhbar awal minggu ini bagi membuat penjelasan lebih terperinci.
Namun pembangkang nampaknya berterusan menyerang 1MDB malah ada kala tuduhan dilemparkan itu bukan pun fakta sebaliknya andaian tidak benar atau dengan kata lain berbaur fitnah semata-mata mahu menjuarai isu agensi pelaburan tersebut dan mengelirukan tindakan 1MDB membuat pelaburan di pusat pesisir kewangan antarabangsa ternama, Cayman Island.
Barang kali sudah hilang sabar dengan sikap keterlaluan pembangkang, semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan bersedia menyaman Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua jika pemimpin itu tidak memohon maaf ekoran siri fitnah ke atas 1MDB dalam tempoh 14 hari sebelum tindakan undang-undang dilaksanakan.
Perkara tersebut didedahkan menerusi laman Twitter milik seseorang yang menggunakan nama Sir Azri dan mesej itu turut disiarkan portal berita politik tanah air, Agenda Daily lewat petang Jumaat sekali gus menerima banyak maklum balas daripada pelbagai pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang juga Ketua Pemuda UMNO.
Dalam reaksinya beliau membidas tweet Ambiga Sreenevasan yang diketahui pemimpin sebuah badan bukan kerajaan kerana cuba mempertikai hak Najib menyaman Tony kononnya sebagai zalim dan menindas kebebasan bersuara walhal ujar Khairy Jamaluddin, adakah kerana jawatan Perdana Menteri maka Najib tiada hak membersihkan namanya sendiri.
Nampaknya isu 1MDB semakin hangat dan jika benar Perdana Menteri serius menggunakan saluran perundangan ekoran fitnah wakil rakyat terbabit, baharulah namanya buku bertemu ruas kerana apabila dibawa ke mahkamah kelak, segala-galanya akan terbongkar termasuk dari sumber mana Tony mendapat cerita buruk pasal 1MDB. Kita nanti-nantikanlah.