KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu seorang lelaki yang dikenali sebagai B.Vasudevan, 33, bagi membantu siasatan kes kematian isterinya G.Kanagaletchumi, 25, di Taman Puchong Utama, Bukit Puchong, semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata Vasudevan yang bekerja sebagai penjaga kafe internet telah menghilangkan diri selepas kejadian itu.
Katanya hasil bedah siasat mendapati, mayat Kanagalecthumi mempunyai luka dan parut pada badannya dipercayai akibat penderaan yang berulang kali.
“Mangsa turut mengalami luka di kepala sebelah kiri dan lebam di sebelah kanan dipercayai dicekik dan dihentak…tulang rusuk kiri keenam pernah patah dan sedang sembuh,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Beliau berkata hasil bedah siasat juga mendapati Kanagaletchumi positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Dalam kejadian awal pagi semalam, Kanagaletchumi, seorang suri rumah ditemui mati dengan kesan lebam di muka dan badan dipercayai akibat dipukul anggota keluarga terdekat, di rumahnya. – BERNAMA