KUALA LUMPUR – Polis mengesan sindiket perjudian haram yang mengubah modus operandi (MO) mereka dengan menjadikan ‘tablet’ sebagai alat untuk berjudi susulan operasi agresif polis bagi membanteras kegiatan perjudian haram di seluruh negara.
Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata penggunaan tablet dilihat lebih mudah untuk sindiket ini beroperasi kerana ia tidak melibatkan mesin perjudian seperti komputer dan CPU.
“Kita kesan MO (modus operandi) ini dalam serbuan yang kita jalankan di premis snuker baru-baru ini di Seri Kembangan dan merampas beberapa buah tablet disyaki digunakan sebagai judi online… kita juga tahan beberapa individu warganegara Myanmar termasuk penjaga premis.
“Siasatan awal kita peroleh, pelanggan dapat akses untuk berjudi dalam website atau juga dikenali sebagai judi dalam talian selepas operator memberikan kata laluan… wang hasil pertaruhan diperoleh melalui transaksi akaun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam dua serbuan pada Selasa lepas antara 2 pagi dan 3 pagi, polis merampas lapan buah tablet serta menahan lapan warganegara Myanmar selepas menyerbu dua pusat snuker di Taman Perindustrian Seri Kembangan dan Serdang Raya.
Mohamad Fuzi berkata penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan perjudian haram dalam negara sedang giat dijalankan dan kini memasuki fasa kedua sejak Isnin lepas.
“Bagi fasa pertama mulai 26 Okt lepas, kita jalankan operasi dan serbuan ke atas premis-premis perjudian… fasa kedua kita beri tumpuan kepada premis yang telah diserbu tetapi masih beroperasi di mana kita akan dapatkan waran dan pecah masuk premis berkenaan termasuk mengesan premis-premis perjudian lain.
“Pada fasa pertama sehingga semalam, sebanyak 13,758 serbuan dijalankan di seluruh negara. Sebanyak 638 tangkapan telah dilakukan dan polis merampas 3,629 komputer serta wang tunai RM43,879,” katanya.
Beliau tidak menolak operasi dan serbuan secara agresif yang akan dijalankan secara berterusan akan mewujudkan lebih banyak modus operandi terbaharu perjudian bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Mohamad Fuzi sekali lagi menegaskan sekiranya terdapat pegawai atau anggota yang didapati melindungi kegiatan ini, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib termasuk mendakwa mereka. – BERNAMA