NIBONG TEBAL – Polis menahan 13 lelaki atas pelbagai kesalahan dalam operasi pencegahan jenayah bersepadu di sekitar daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di sini malam tadi.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pulau Pinang SAC Nasir Salleh berkata kesemua lelaki yang ditahan berusia antara 20 dan 40 tahun itu sememangnya dikehendaki polis kerana terbabit dalam pelbagai kesalahan jenayah.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada lima lelaki, membabitkan kesalahan jenayah, seorang melibatkan jenayah komersial dan tujuh yang lain kesalahan narkotik. Masing-masing ditahan di rumah serta beberapa lokasi di SPS,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya semua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPS untuk siasatan lanjut.
Operasi selama lima jam bermula 10 malam itu membabitkan sebanyak 441 anggota dan pegawai polis termasuk 34 anggota sukarelawan polis, 18 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia dan 15 anggota Jabatan Pertahanan Awam.
“Serbuan dan pemeriksaan dilakukan di tempat-tempat awam seperti pusat snooker, rumah urut dan pusat hiburan serta rumah-rumah suspek yang dikenal pasti terlibat jenayah selain mengadakan lima sekatan jalan raya,” kata Nasir.
Beliau berkata dalam operasi itu pihaknya turut memeriksa sebanyak 527 individu di semua lokasi terlibat.
Nasir berkata pihaknya juga memeriksa 386 kenderaan dalam sekatan jalan raya yang diadakan di Jalan Bukit Minyak, Jalan Besar Simpang Empat, Jalan Valdor Sungai Bakap, Jalan Permatang Kling dan susur Plaza Tol Jawi.
“Sebanyak 101 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik seperti tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh,” katanya.
Operasi bersepadu seumpama itu akan dijalankan dari semasa ke semasa dalam usaha memerangi semua aktiviti jenayah di negeri ini, katanya. – BERNAMA