PHILADELPHIA – Seorang wanita yang diculik di sebatang jalan raya di sini diselamatkan dengan bantuan peranti sistem pengesanan global (GPS) yang dipasang pada kereta suspek oleh syarikat penjual kereta supaya kenderaan itu mudah ditarik jika pembeli gagal membuat bayaran ansuran bulanan.
Mangsa yang berusia 22 tahun, Carlesha Freeland-Gaither berehat di rumah ibunya kelmarin selepas kes penculikan selama tiga hari itu berakhir di Maryland pada Rabu lepas apabila pihak berkuasa mengepung kereta tersebut dan menahan penculiknya.
Penculik wanita itu, Delvin Barnes, 37, dipenjarakan berhubung kes lain meÂÂlibatkan dakwaan dia menculik dan cuba membunuh seorang gadis berusia 16 tahun dari negeri Virginia.
Polis mendapat petunjuk dalam kes penculikan di sini apabila mereka melihat nama syarikat penjual kereta terpakai itu tertera pada kereta Barnes menggunakan kamera lampu isyarat.
“Pihak berkuasa kemudian meminta syarikat berkenaan menyerahkan gajet GPS itu,†kata ketua polis tempatan, Kapten Jayson Crawley.
Menurutnya, syarikat kereta terpakai memasang alat GPS supaya mereka mudah mendapatkan kembali kenderaan tersebut jika pembeli gagal melunaskan bayaran ansuran bulanan.
“Dalam masa lima minit sahaja selepas kami menghubungi syarikat kereta terpakai itu, kami telah dapat mengenal pasti lokasi suspek,†kata Crawley.
Menurutnya, kes itu merupakan tangkapan terbaharu yang dibuat dengan bantuan teknologi pengesanan yang kini digunakan di mana sahaja di dunia. – AP