PUTRAJAYA – Program pertanian bandar kini dilaksanakan di Putrajaya dengan projek pertamanya menggunakan sistem fertigasi bagi penanaman 500 pokok Rock Melon dan 300 pokok Cili Kulai.
Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Aseh Che Mat berkata pokok Rock Melon ditanam di dua buah Rumah Hijau di Kebun Komuniti 1 (KK1), Jalan P9G, Presint 9 manakala Cili Kulai ditanam di Kebun Komuniti Fasa 4A, Presint 8.
Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Pertanian Bandar Putrajaya di bawah Program Local Agenda 21 di sini Rabu, beliau berkata projek tersebut telah dimulakan pada Sept tahun ini dengan melibatkan 33 peserta.
“Kumpulan satu terdiri dari 20 peserta yang mengusahakan tanaman Rock Melon dan selebihnya mengusahakan Cili Kulai,” katanya.
Beliau berkata Rock Melon (juga dikenali sebagai tembikai wangi) dijangka dapat mengeluarkan hasil pada akhir bulan ini manakala Cili Kulai pada awal bulan hadapan.
Justeru itu beliau mengajak lebih ramai penduduk Putrajaya melibatkan diri dalam projek tersebut supaya hasilnya dapat dikongsi bersama atau dijual untuk dijadikan pendapatan.
“Masih terdapat tanah kosong seperti di Presint 20 untuk mengembangkan lagi projek tersebut jika ia mendapat sambutan menggalakkan dari penduduk Putrajaya,” katanya. – BERNAMA