KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO perlu berani ‘mencipta’ peluang untuk membuktikan kehadiran mereka dalam parti keramat orang Melayu itu bukan sekadar tempelan atau pembantu untuk meraih undi.
Dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pangajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata kepimpinan sayap UMNO itu tidak seharusnya ‘berpeluk tubuh menunggu peluang jatuh ke riba’, khususnya semasa begitu banyak isu berkaitan golongan muda boleh disuarakan.
“Golongan muda gusar berhubung isu peluang pekerjaan, kos sara hidup dan juga pemilikan rumah. Isu begini lebih penting untuk disuarakan berbanding aktiviti meraih undi yang bermusim semasa pilihan raya,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Ahmad Marthada berkata demikian semasa diminta mengulas ucapan Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada Perhimpunan Puteri Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini yang mahu puteri tidak lagi berada di takuk lama untuk membuktikan kewujudan dalam parti adalah penting.
Selain itu, beliau juga berkata adalah penting untuk Puteri mengumpul keberanian bersuara menegur kepimpinan parti, jika ada kepentingan golongan muda yang ‘terlepas pandang’.
Tambah Ahmad Marthada, golongan muda zaman kini telah muak dengan tabiat berdiam diri, hanya kerana malas atau takut untuk menegakkan perkara benar semata-mata melindungi kepentingan diri.
“Satu faktor mengapa orang muda cenderung ke arah pembangkang, adalah kerana mereka meminati pendekatan golongan muda di situ yang tidak pernah takut untuk melahirkan pandangan dalam sesuatu isu.
“Ini seharusnya dijadikan tanda aras oleh Puteri UMNO, kerana kerajaan tidak seharusnya kebal daripada ditegur, supaya mereka boleh bekerja dengan lebih baik untuk rakyat. Tiada salahnya memberi teguran membina, bukan teguran untuk mengkritik,” katanya.
Bukan untuk membuat perbandingan, namun Ahmad Marthada berkata Puteri UMNO pernah digeruni kerana sikap lantangnya di bawah kepimpinan pengasasnya Datuk Seri Azalina Othman.
Beliau juga yakin Puteri UMNO dengan hampir 380,000 anggota dapat kembali ke ‘momentum’ serupa di bawah kepimpinan Mas Ermieyati, jika Anggota Parlimen Masjid Tanah itu mula mengambil pendirian tegas dalam beberapa isu seperti yang dilakukan Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin.
“Evolusi sama berlaku di dalam sayap Pemuda UMNO. Dahulu, di awal kemunculan, mereka disegani, namun setelah beberapa ketika mula hilang taring sehingga kepimpinan diambil alih oleh Khairy Jamaluddin,” katanya.
Pendirian tegas yang tidak berpaksikan kepada budaya ‘yes bos’ dan tabiat mengampu telah membuat suara Pemuda kini kembali diberi perhatian dalam politik Malaysia, katanya. – BERNAMA