LANGKAWI – Kementerian Komunikasi dan Multimedia menggalakkan orang ramai untuk mengendali perkhidmatan radio amatur sebagai cabang komunikasi baharu.
Timbalan Menterinya, Datuk Jailani Johari berkata, penggunaan radio amatur adalah penting terutama dalam memberi maklumat dan bantuan sekiranya berlaku sesuatu kecemasan atau bencana di kawasan terpencil yang tidak mempunyai akses talian telefon yang baik.
“Radio amatur ini dahulunya merupakan satu hobi. Ia biasanya digunakan di kawasan terpencil. Walaupun kita memiliki telefon selular, tetapi kita terpaksa menggunakannya untuk membantu.
“Ia dapat menghubungkan maklumat antara kita dengan orang di luar,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Teknologi Telekomunikasi 2014 kali kedua di sini hari ini.
Namun beliau berkata, pihak yang berminat untuk mengendali peralatan itu perlu menduduki peperiksaan yang disediakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi membolehkan mereka menjadi pengendali radio amatur yang berdaftar.
Mengenai simposium itu, Jailani menyifatkannya sebagai platform terbaik untuk menggabungkan pakar dan saintis dalam bidang teknologi komunikasi untuk membincang dan menambah baik sistem telekomunikasi negara.
Beliau gembira kerana ia turut mengetengahkan soal komunikasi kecemasan bagi pengurusan bencana serta grid pintar dan komunikasi utiliti.
Simposium tiga hari ini bermula semalam dihadiri kira-kira 200 peserta. – BERNAMA