PELUMBA Thailand, Ratthapong Wilairot menggunakan kelebihan beraksi di halaman sendiri untuk mengejutkan pelumba pilihan lain apabila mencatat masa terpantas sesi kelayakan SuperSports 600cc pada Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, hari ini.
Pelumba Thai Honda Racing itu mencatat masa terpantas pada minit terakhir sesi kelayakan dengan masa 1’40.460s sekaligus meraih petak pertama SuperSports 600cc, hanya 0.001s mengatasi Jakkrit Sawangswat (AP Honda Thailand) yang berada di petak kedua dengan catatan masa terbaik 1’40.461s.
Pendahulu keseluruhan, Katsuaki Fujiwara (BEET Kawasaki Racing) terus memberikan cabaran apabila berada di petak ketiga dengan masa 1’40.600s.
Mohd Zaqhwan Zaidi (Musashi Boon Siew Honda Racing) yang baru meraih gelaran juara keseluruhan CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS muncul pelumba terbaik Malaysia dengan mencatat masa kelima terpantas, 1’40.788s.
Mengulas tentang kejayaan meraih petak pertama buat pertama kali dalam karier SuperSports 600cc di Kejuaraan Asia, Ratthapong berkata, “Saya gembira kerana akhirnya berjaya meraih petak pertama, apatah lagi di halaman sendiri, di Thailand,” jelas Ratthapong.
Tambahnya, “Meskipun begitu, secara keseluruhan, saya masih belum berada di tahap terbaik. Saya gagal mencari rentak sepanjang sesi latihan sehinggalah masuk ke sesi kelayakan tadi.
“Suasana pada 20 minit pertama ketika di litar agak sukar kerana cuaca hujan. Pada 20 minit terakhir, keadaan semakin baik dan akhirnya saya berjaya mencatat masa terpantas pada pusingan terakhir.”
Sementara itu, bagi Zaqhwan dia tetap berpuas hati dengan catatan masa yang dilakukan dan akan berusaha memberikan saingan sengit untuk menamatkan perlumbaan di atas podium.
Kategori Underbone 130cc menyaksikan pendahulu, Gupita Kresna Wardhana dari Indonesia memberi amaran awal untuk terus menjarakkan diri dalam senarai keseluruhan apabila berjaya merebut petak pertama setelah mencatat masa terpantas dengan masa 2’09.423s.
Pelumba Kawasaki KYT Rextor Manual itu mengatasi catatan pelumba Malaysia, Mohd Rozaiman Said (Givi Honda Yuzy Racing) yang akan memulakan perlumbaan dari petak kedua dengan catatan masa terbaik 2’10.476s. Seorang lagi pelumba Indonesia, Ferlando Herdian (Faito Factory Team) bakal bermula dari petak ketiga setelah mencatat masa ketiga terpantas, 2’11.397s.
Saingan Asia Dream Cup terus dikuasai oleh Khairul Idham Pawi setelah pelumba itu mencatat masa terpantas, 2:05.534s.
Duo Indonesia, Andi Farid Izdihar dan Aditya Pangestu mencatat masa kedua dan ketiga terpantas, masing-masing dengan catatan terbaik 2’06.133s dan 2’06.751s.
Keputusan Kelayakan
SuperSports 600cc
1.Ratthapong Wilairot (Honda) 1’40.460s 2.Jakkrit Swangswat (Honda) 1’40.461s 3.Katsuaki Fujiwara (Kawasaki) 1’40.600s 4.Yuki Ito (Yamaha) 1’40.770s 5.Zaqhwan Zaidi (Honda) 1’40.788s
Underbone 130cc
1.Gupita Kresna (Kawasaki) 2’09.423s 2.Rozaiman Mohd Said (Honda) 2’10.476s 3.Ferlando Herdian (Yamaha) 2’11.397s 4.Vorapong Malahuan (Honda) 2’11.424s 5.Norizman Ismail (Honda) 2’11.585s
Asia Dream Cup
1.Khairul Idham Pawi (MAS) 2’05.534s 2.Andi Farid (INA) 2’06.133s 3.Aditya Pangestu (INA) 2’06.751s 4.Sumit Loucs Toppo (IND) 2’06.826s 5.Teppei Nagoe (JPN) 2’06.838s