Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim akan berhadapan dengan Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) Fahmi Zainol dalam satu program debat pada 26 November depan.
Program itu akan diadakan pada pukul 8.30 malam di UM Foodcourt Village di Universiti Malaya (UM).
Razali yang sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, merupakan bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Alumni UKM.
Bahagian Hal Ehwal Pelajar UM dilaporkan sudah memberi kelulusan kepada Razali untuk hadir ke program berkenaan.
Debat yang bertajuk “Kebebasan Memilih” itu merupakan anjuran Pro Mahasiswa UM dan PMUM.
Moderator program berkenaan ialah Yang Dipertua PMUKM Mustapha Kamil Husen.
Program debat kali ini pastinya menarik kerana ia akan memperlihatkan kredibiliti Fahmi yang selama ini kerap mengkritik kerajaan berhadapan dengan orang kuat kerajaan yang turut menganggotai kabinet sendiri.
Fahmi yang juga Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UM sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila menjemput Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berpidato di UM bertajuk “40 Tahun : Dari UM Ke Penjara” yang mendapat tentang pengurusan UM.
Beliau yang menganjurkan pidato itu tetap berdegil dan bertindak merempuh pintu pagar masuk ke kampus UM untuk mendengar Anwar berpidato.
Fahmi juga pernah ditahan polis ketika berpidato di Jalan Gaya di Kota Kinabalu kerana mengadakan pidato di tempat awam tanpa kebenaran. – MYNEWSHUB.CC