KUALA LUMPUR – Anggota skuadron Rejimen Pakar Pengendalian Air Ke-60 RAJD (AW) di seluruh negara dalam keadaan bersiap sedia untuk digerakkan bagi menghadapi bencana banjir di seluruh negara.
Komandernya, Brigadier Jeneral (Kehormat) Tan Sri Rozali Ismail berkata, kesemua anggota pasukannya boleh dipanggil bertugas pada bila-bila masa bagi menggerakkan misi bantuan kemanusiaan.
“Kami bersiap sedia memandangkan musim tengkujuh telah pun bermula dan dijangka akan berlarutan hingga awal Januari 2015.
“Misi bantuan kemanusiaan dan bekalan air bersih akan dilancarkan bagi membantu mangsa banjir di tempat-tempat yang teruk terlibat apabila diarahkan oleh Kementerian Pertahanan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Rozali dalam pada itu, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) sebanyak 66 lori tangki air, 750 tangki air statik dan 20,000 botol air botol lima liter boleh diguna pada bila-bila masa yang diperlukan.
“Bekalan air botol boleh ditingkatkan dari semasa ke semasa mengikut keperluan,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, kata beliau, Puncak Niaga (M) Sdn Bhd menyediakan tiga sistem rawatan air bergerak untuk berhadapan kemungkinan bencana itu berlaku.
“Ia bakal ditempatkan di hospital dan juga di pusat penempatan mangsa banjir yang terputus bekalan air,” katanya. – mynewshub.cc