KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun maut apabila motosikal yang ditungganginya dirempuh oleh sebuah kereta pacuan empat roda di Jalan Raja, di sini awal pagi tadi.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Supritendan S. Markandan berkata dalam kejadian pukul 4 pagi itu, mangsa Irham Muzani Azhar, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat, katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.
Markandan berkata ketika kejadian, kereta jenis Nissan yang dipandu seorang lelaki bersama tiga rakannya, dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan jalan.
Ini mengakibatkan ia bertembung dengan motosikal yang ditunggangi mangsa dari arah bertentangan.
Katanya keempat-empat mereka dirawat di HKL kerana cedera ringan. – BERNAMA