MILAN – Inter Milan melantik semula bekas jurulatih, Roberto Mancini semalam, beberapa jam selepas memecat Walter Mazzarri berikutan keputusan hambar kelab itu.
Mancini sebelum ini bersama dengan Inter selama empat tahun dan membawa kelab itu memenangi Piala Itali dua kali dan meraih kejuaraan liga tiga musim berturut-turut walaupun satu daripadanya dilucutkan dan diberikan kepada Juventus kerana tuduhan mengatur perlawanan.
“Sasaran kita untuk kembali di tempat yang betul sebagai salah satu kelab teratas di Eropah dan sebab itu saya sangat gembira untuk mengalu-alukan kedatangan semula Roberto Mancini,” kata Presiden Inter Milan, Erick Thohir dalam satu kenyataan.
“Rekod kejayaannya di Inter dan bersama kelab lain serta pengalamannya di peringkat antarabangsa dan tekadnya memburu kejayaan akan membantu kelab ini untuk maju ke hadapan lagi,” katanya.
Mancini, yang digantikan oleh Jose Mourinho sebagai jurulatih Inter pada 2008, akan tampil bersama media hari ini sebelum turun melatih pasukannya.
“Ia satu cabaran yang cukup teruja, saya gembira untuk berada dalam pelukan penyokong ‘nerazzurri’ semula. Jumpa anda esok,” kata Mancini dalam posting Twitternya.
Perlawanan pertamanya dengan Inter adalah pertembungan tetangga dan musuh ketat, AC Milan pada 23 November.
Inter hanya menang dua daripada tujuh perlawanan liga dan jatuh ke tempat kesembilan dalam Liga Serie A. – AFP