Wednesday, January 22, 2025

Creating liberating content

Kehadiran Staf Kedutaan Korea...

SEPANG - Kehadiran Kaunselor Kedutaan Korea Utara Kim Yu-song di Ibu Pejabat Polis...

Masjidil Haram Kutuk Tindakan...

Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengesahkan kejadian pengeboman berhampiran Masjid Nabawi berlaku sebaik...

Tonggak Sukma Ganti Import...

PETALING JAYA : Johor Tigris tidak panik dengan penarikan diri pemain import dari...

Polis Seremban Tahan 22...

SEREMBAN - Polis Seremban berjaya menahan 22 lelaki berusia 19 hingga 30 tahun...

Sambutan Memberangsangkan Program Kad Kesetiaan Petron

KUALA LUMPUR – Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd, sebelum ini dikenali sebagai Esso Malaysia Bhd, mendapat sambutan yang menggalakkan bagi program kadnya yang dilancarkan pada tahun ini.

Ketua Perniagaan Runcit Petron, Faridah Ali berkata kedua-dua program ini bertujuan melengkapi usaha-usaha penambahbaikan dan penjenamaan semula stesen minyaknya, yang bertujuan memperkukuh jenama Petron dalam pasaran Malaysia.

Menurut beliau, Kad Keistimewaan Petron Miles menawarkan mata ganjaran dan faedah lain manakala Kad Petron Fleet membolehkan pelanggan korporat mengawal kenderaan syarikat mereka dengan lebih baik melalui transaksi tanpa menggunakan tunai.

Terkini, terdapat 1.2 juta pemegang kad Petron Miles, yang terdiri daripada pemegang kad Smiles yang sedia ada dan ahli baharu. Sejak pelancarannya pada Mei, 100,000 orang mendaftar sebagai ahli dan jumlah itu semakin meningkat.

“Ini berlaku hanya dalam masa empat bulan sahaja,” katanya kepada Bernama dalam satu temubual.

Kad Petron Miles menggantikan program Kad Kesetiaan Smiles. Kad yang baharu ini memberikan ganjaran kepada para pelanggan iaitu 1 mata Miles untuk setiap RM1 yang dibelanjakan untuk membeli minyak bertaraf dunia Petron seperti Blaze 95, Blaze 97, atau Diesel Max.

SEPERTI WANG TUNAI

“Mata ganjaran Miles boleh digunakan seperti wang tunai bagi membeli produk dari kedai runcit Treats dan dari katalog ganjaran. Mata ganjaran Miles juga boleh dikumpulkan dan ditebus di mana-mana kedai rakan kongsi Petron,” kata Faridah.

Mata ganjaran Miles juga boleh digunakan untuk menikmati tawaran-tawaran khas daripada rakan kongsi seperti Malaysia Airlines’ Enrich, Kad PLUS Miles Lebuhraya Plus, Johor Premium Outlet dan SEA Aquarium Resorts World Sentosa di Singapura dan Universal Studios Singapore.

Para pemilik kenderaan boleh memohon mendapatkan kad Petron Miles, tanpa sebarang bayaran di mana-mana stesen Petron, Esso atau Mobil. Ia menawarkan keahlian percuma seumur hidup dan tidak ada tarikh luput. Oleh yang demikian, mata ganjaran boleh terus dikumpulkan dan ditebus bertahun-tahun lamanya.

“Kesemua program ini adalah unik. Ia direka bagi memenuhi keperluan unik pelanggan kami. Matlamat kami adalah menambah nilai kepada produk dan perkhidmatan kami agar pelanggan memperoleh pengalaman yang berbaloi apabila mereka mengisi minyak di Petron,” kata beliau.

KAD FLEET DENGAN TEKNOLOGI CIP MIKRO

Faridah berkata, Petron juga menerima sambutan yang menggalakkan terhadap kad Petron Fleet sejak pelancarannya pada bulan Jun. Sehingga kini Petron mempunyai hampir 7,000 akaun termasuk 100 akaun yang baharu.

Sebagai usaha untuk menyediakan penyelesaian yang inovatif, Kad Petron Fleet adalah satu-satunya kad di negara ini yang menggunakan teknologi cip mikro. Ia berfungsi seperti kad pasca bayar dengan tempoh kredit 31 hari, kata beliau.

“Bagi pengurusan cekap perbelanjaan untuk bahan api, kami memberi pilihan kepada pemegang kad Fleet kami untuk menghadkan pembelian bahan api kepada diesel atau mogas dan menetapkan had pembelian secara harian atau bulanan bagi setiap kad yang diberi kepada pemandu.

“Kami juga memasukkan sistem pengesanan dalam talian masa sebenar bagi membantu pelanggan memantau pembelian bahan api mereka, setiap masa, di mana sahaja,” kata beliau.

Kad Petron Fleet ini dilengkapi dengan teknologi cip yang memberikan kemudahan untuk setiap transaksi bahan api dan pada masa yang sama memastikan data pengguna dilindungi.

Sebagai ciri keselamatan tambahan, kad baharu ini mempunyai dwi-fungsi yang memerlukan pengenalpastian kenderaan dan pemandu sebelum sebarang transaksi
boleh dilakukan.

Mengenai faedah menggunakan kad Petron Fleet, Faridah berkata, selain dapat menguruskan kenderaan syarikat dengan baik, kad ini juga boleh didapati secara percuma, tanpa yuran tahunan atau caj perkhidmatan.

Dengan kad baharu ini, para pelanggan korporat boleh terus mengumpulkan mata ganjaran Miles dengan membeli produk bahan api Petron yang bertaraf dunia, seperti Blaze 95, Blaze 97, atau Diesel Max, di lebih 560 stesen Petron.

Faridah berkata, program kad Petron Fleet menyumbang sekurang-kurangnya 10 peratus jumlah keseluruhan jualan runcit, dan angka ini dijangka bertambah.

PENJENAMAAN SEMULA MENGIKUT JADUAL

Petron Malaysia adalah anak syarikat Petron Corp, syarikat penapisan minyak dan pemasaran terbesar di Filipina, yang telah beroperasi selama 80 tahun.


Sejak mengambil alih anak-anak syarikat hiliiran ExxonMobil pada 2012, syarikat ini telah bertindak dengan agresif bagi menambahbaik dan menjenamakan semula selaras dengan identitinya yang baharu. ExxonMobil memberikan masa selama tiga tahun kepada Petron sehingga 31 Mac, 2015 untuk menukarkan kesemua stesen minyak ExxonMobil kepada Petron.

“Kami memulakan program penjenamaan semula dan penambahbaikan pada bulan Jun 2012 dan ia mengikut jadual untuk menyelesaikan proses penjenamaan ini menjelang suku pertama 2015. Kini terdapat 460 stesen minyak (daripada 550) yang telah ditukar kepada jenama Petron,” kata Faridah.

Berkenaan dengan bajet untuk promosi dan teknologi, beliau berkata sepanjang tahun, Petron akan menggunakan kedua-dua “taktik di atas garisan dan di bawah garisan” bagi memaksimum capaiannya kepada para pelanggan. Syarikat ini juga melancarkan laman Petron Malaysia Facebook bagi meningkatkan kehadiran dalam taliannya sekaligus memperluas capaiannya.

Berkaitan dengan sama ada pelanggan mungkin keliru antara stesen Petron dan stesen Petronas, beliau berkata Petron menggunakan warna biru dan merah dan logonya yang tersendiri, bagi membezakannya dengan syarikat minyak nasional itu.

“Kami juga berjaya mengukuhkan kedudukan kami dengan mematuhi janji jenama kami, iaitu nilai-nilai yang sama yang telah memacu kejayaan syarikat ini di Filipina. Nilai-nilainya adalah produk yang inovatif, perkhidmatan yang cemerlang dan perkongsian yang berjaya yang dibina berdasarkan kepercayaan dan mengambil berat kepada pelanggan kami,” kata Faridah.

Untuk setengah tahun yang pertama, Petron Malaysia menyaksikan peningkatan pendapatan sebanyak sembilan peratus dengan RM5.99 bilion jualan, satu peningkatan daripada tahun lepas iaitu RM5.5 bilion, selaras dengan jualan bahan api yang lebih tinggi.

Jumlah jualan keseluruhan untuk enam bulan pertama meningkat hampir 15 juta tong daripada 14.65 juta tahun lepas. Jualan domestik meningkat 12 peratus kepada 9.81 juta tong daripada 8.76 juta tong selaras dengan jualan runcit dan industri yang lebih kukuh.

PERUNCIT KETIGA TERBESAR

Mengenai pasaran, Faridah berkata syarikat sangat yakin yang ia mampu untuk mengembangkan perniagaan berdasarkan kepada rangkaian dan inisiatif-inisiatif operasinya beserta dengan kadar pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh. Petron adalah peruncit ketiga terbesar di Malaysia selepas Petronas dan Shell.

Petron membina 10 stesen perkhidmatan yang baharu di lokasi-lokasi utama dan menyasarkan untuk membina 30 lagi tahun ini, tambah beliau.

“Kami mahu menjadikan produk-produk dan perkhidmatan Petron lebih mudah diakses oleh para pengguna di Malaysia, terutama di pasaran-pasaran kurang dimasuki,” katanya.

Dengan stesen-stesen yang baharu dibina ini, Petron kini mempunyai 560 buah stesen di seluruh negara.

Menjawab pertanyaan mengenai penyeludupan, beliau berkata isu ini adalah isu industri dan nasional yang memerlukan usaha bersepadu dan beliau menegaskan yang Petron terus bekerjasama dengan para penjualnya dan agensi-agensi kerajaan yang relevan untuk menangani isu ini.

Mengenai turun naik harga minyak global, beliau berkata, seperti mana-mana pemain serantau, harga minyak mentah global dan harga produk akhir mempunyai kesan terhadap untung rugi sesebuah syarikat.

“Contohnya, kami menyaksikan trend harga minyak global yang semakin menurun yang menyebabkan margin yang kecil.

“Bagaimanapun, kami mempunyai program bagi mengatasi perkara ini termasuk pengembangan rangkaian runcit kami bagi meningkatkan jumlah jualan dan program-program di penapisan kami dan rangkaian depot untuk memperbaiki daya kecekapan,” kata Faridah.

KEKAL DI SINI

Melihat ke hadapan, beliau berkata Petron amat optimistik terhadap perniagaannya berdasarkan kepada kekuatan-kekuatannya yang berfungsi sebagai platform yang stabil untuk pertumbuhan.

Syarikat ini, tambah beliau, mempunyai rangkaian runcit yang luas, jenama yang kuat, rangkaian logistik yang besar dan cekap dan pasukan pengurusan yang sangat berpengalaman dan berwibawa.

Faridah berkata keutamaan Petron hari ini dan beberapa tahun akan datang adalah membesarkan lagi perniagaannya dan melaksanakan pelan bagi menambahbaik penapisan dan memperbaiki rangkaian runcit.

“Kami juga sangat teruja untuk memperkenalkan perkhidmatan-perkhidmatan inovatif dan produk-produk berkualiti kepada para pelanggan dan memfokus kepada usaha memberi nilai tambahan kepada pelanggan kami.

“Dengan program dan visi syarikat, kami berharap dapat menjadikan Petron Malaysia sebagai jenama pilihan. Kami akan kekal berada di sini,” kata Faridah. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori