Walaupun kes seorang gadis bertudung mengamuk terhadap seorang warga emas pada Julai lalu menggemparkan negara, perbuatan membuli pengguna jalanraya lain bukanlah kisah asing.
Tak hairanlah semalam, laman sosial kecoh lagi dengan isu hampir sama. Bezanya, si pelaku kali ini seorang lelaki.
Menerusi perkongsian foto di laman Facebook dan Twitter, mangsa (dari dalam kereta) sempat mengambil gambar individu yang beraksi samseng apabila merosakkan wiper dan meludah ke tingkap keretanya.
Apa yang kelakar, si pembuli jalan raya itu sempat menjelirkan lidah kepada mangsa yang sedang mengambil gambarnya dari dalam kereta.
Difahamkan, lelaki itu berkelakuan demikian setelah mangsa membunyikan hon ketika sedang memandu. Kejadian berlaku di lebuhraya USJ menuju ke Shah Alam.
Mungkin bengang atau ‘kelelakian’nya tercabar lepas dihon, lelaki tersebut memberhentikan kereta dan mendekati kereta mangsa sebelum bertindak mengetuk tingkap, meludah dan merosakkan wiper.
Dalam ruangan komen, ramai individu mengutuk tindakan lelaki itu kerana mengikut emosi.
Tak kurang juga, ada yng mengaitkan baran lelaki ini dengan kes Kiki yang ‘naik hantu’ selepas CDM 25 nya dilanggar oleh pak cik Sim.
Namun, agak sedih kerana terdapat  segelintir individu yang membuat kenyataan dan komen kurang bijak apabila mengaitkan situasi tersebut dengan isu perkauman dan mengapi-apikan situasi.
Yang sebetulnya, mangsa merupakan seorang wanita berketurunan Cina. Melalui laman Facebook peribadinya, individu tersebut, Alisia Thean menceritakan kembali peristiwa sebenar dialami.
Sudahlah silap sendiri sebab memandu dalam keadaan berbahaya, baru kena hon sikit dah melenting.
Cubalah bayangkan kalau situasi ini melibatkan si lelaki tersebut dengan Kiki, pasti lagi kecoh. Baru buku bertemu ruas, kan? – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR