ARAU – Susunan beberapa buah meja makan di atas hamparan permaidani hijau seakan rumput menyapa pandangan mata tatkala melangkah masuk ke bangunan dua tingkat berwarna jingga ini.
Mata turut terpaut ke arah sebuah rak buku besar di sudut kanan berhampiran pintu masuk, yang menempatkan pelbagai jenis bahan bacaan pelbagai bahasa dan genre, selain deretan sofa bermacam rupa di beberapa sudut yang turut menarik perhatian.
Tidak lama kemudian, penulis disapa seorang lelaki dewasa berbangsa Cina, yang manis melempar senyuman dan mengucapkan selamat datang.
“Tempat ini baharu sahaja dibuka beberapa minggu sebelum Sukma (Sukan Malaysia) yang lepas. Duduklah, nanti kami bawakan air,” katanya memulakan perbualan.
Sambil duduk di atas sofa berbentuk bola sepak, penulis dan beberapa rakan terus menjamu mata melihat pelbagai jenis dekorasi yang menghiasi segenap ruang di “Sanctuary Garden” ini. Dekorasi berbeza-beza, tiada konsep khusus barangkali.
“Di kebanyakan hotel, tetamu akan duduk di dalam bilik. Tetapi di sini, kebanyakan mereka gemar menghabiskan masa di lobi atau ruang tamu,” kata pemilik hotel itu, Foo Siang Leng.
Foo, 40, berkata, meskipun “Sanctuary Garden” seakan-akan sebuah hotel, namun beliau menegaskan bahawa ia adalah sebuah homestay berdasarkan suasana “kekeluargaan” dan perasaan “tempat tinggal” yang disuntik di situ.
PEMINAT BOLA SEPAK
Sebenarnya, tujuan kami datang ke hotel ini adalah untuk melihat konsep bola sepak yang diuar-uarkan seorang rakan lain. Namun, ia tidak kelihatan pula di ruang lobi itu melainkan kerusi bulat yang penulis duduki.
Foo, anak kelahiran Perlis, berkata homestay itu mempunyai 19 buah bilik termasuk sebuah bilik mesra orang kelainan upaya (OKU) yang sedang disiapkan di tingkat bawah.
“Dengan harga serendah RM80 hingga RM160, kami menawarkan bilik-bilik yang boleh memuatkan antara dua himgga tujuh orang,” jelasnya yang telah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan berumur 11 tahun.
Kami kemudian dibawa menaiki tingkat atas untuk melihat bilik-bilik penginapan yang terdapat di homestay ini.
Sebaik melihat pintu bilik pertama, kami sudah teruja kerana ia tertera lambang-lambang negara dan kelab bola sepak terkemuka dunia termasuk Jerman, Brazil, Uruguay, Argentina, Belanda, Arsenal, Chelsea, Barcelona, Liverpool dan Manchester United.
Dekorasi dalaman termasuk warna perabot setiap bilik juga mengikut identiti sesebuah pasukan bola sepak. Contohnya, perabot berwarna jingga bagi bilik pasukan Belanda dan biru bagi bilik kelab Chelsea.
Jelas Foo, minat yang mendalam terhadap bola sepak mendorong beliau menamakan bilik-bilik di homestay itu mengikut negara dan kelab bola sepak terkemuka dunia, menggantikan nombor seperti kebiasaannya.
“Konsep ini datang dari minat dan idea muncul secara tiba-tiba. Kerana konsep ini jugalah ada pelanggan yang datang dengan memakai jersey pasukan,” katanya.
KONSEP PUAS HATI DAN JIMAT TENAGA
Mengulas lanjut, Foo berkata kekerapan menginap di hotel-hotel semasa bekerja di luar negara membuatkan beliau mahu homestay miliknya itu lengkap dengan kemudahan seperti bantal yang banyak, ampaian dan ‘rain shower’.
Sebagai seorang pencinta alam, anak sulung daripada empat beradik itu mereka bentuk Sanctuary Garden dengan cara tersendiri yang membolehkan setiap bilik menerima cahaya matahari secara terus, sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan lampu dan elektrik.
Selain itu, terdapat ruang di bawah siling setiap tingkat yang dibuat khas untuk membolehkan udara panas keluar dan diganti dengan udara sejuk.
Homestay ini turut menggunakan pemanas udara berkuasa solar dan lampu LED untuk menjimatkan tenaga.
Tambah menarik, ruang tengah bangunan itu dibina seperti piramid yang mempunyai medan magnetik yang sesuai untuk perubatan.
Ditanya kos membina homestay itu, Foo berkata ia menelan belanja keseluruhan kira-kira RM1 juta termasuk pembelian perabot.
KAMILAH ‘BANGUNAN’ INI
Dalam pada itu, adik lelakinya dikenali sebagai River Foo menjelaskan bahawa Sanctuary Garden dibangunkan atas usaha empat beradik termasuk dirinya yang amat sukakan pengembaraan dan pernah berkhidmat dengan badan bukan kerajaan berkaitan pembangunan komuniti.
“Oleh itu, bahan bacaan di perpustakaan kami, simpanan filem-filem, hasil kerja seni artis tempatan terdapat di dinding bangunan ini, barang tradisional dan permainan yang dipamerkan adalah untuk dikongsi bersama pelanggan yang datang ke Sanctuary Garden,” jelas beliau.
Beliau menambah, abang keduanya iaitu Bill Foo yang juga pemilik restoran di London adalah orang yang bertanggungjawab menentukan rupa kafe di homestay berkenaan termasuk menu makanan dan minuman, persembahan serta susun atur dapur.
“Manakala adik bongsu kami, Yean, adalah seorang artis dan jurugambar amatur di Bangkok. Dinding-dinding di sini dihiasi dengan hasil kerja seni beliau,” katanya.
PENGALAMAN BERGUNA
Ditanya dari mana datangnya inspirasi membina Santuary Garden, Foo berkata ia lahir daripada pengalamannya bekerja sebagai kontraktor yang sering berulang alik ke luar negara.
“Dari situlah saya menggabungkan pengalaman dan pengetahuan daripada semua projek dan rakan-rakan untuk membina hotel sendiri.
“Namun, pada 2007 semasa saya ke Poland, saya tertarik dengan konsep keluarga yang ditawarkan di hotel penginapan saya. Dan saya terfikir, kenapa saya tak buat seperti itu,” kata Foo yang memiliki syarikat kejuruteraan di China.
Mengulas lanjut, katanya, beliau secara serius memulakan projek membina Sanctuary Garden pada 2011, namun faktor kerja menyebabkan ia hanya berjaya disiapkan baru-baru ini.
“Sepanjang tiga minggu pertama ianya penuh. Mungkin kerana Sukma dan pendaftaran pelajar universiti di sini.
“Saya rasa kami membukanya tepat pada masanya namun biarlah masa yang menentukannya (bagaimana perjalanan perniagaan ini)”, katanya. – BERNAMA