SEREMBAN – Sebanyak 1,000 Orang Kurang Upaya (OKU) akan menyertai Sambutan Hari OKU peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Padang Majlis Perbandaran Seremban Rabu depan.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan Abdullah Hanapi berkata majlis itu akan disempurnakan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
“Pada hari tersebut, sebelah paginya akan diadakan aktiviti sukan dan karnival pameran hasil kerja tangan OKU serta demonstrasi kemahiran oleh OKU,” katanya.
Sebelah petang pula akan diadakan pengurniaan beberapa anugerah kepada OKU, majikan prihatin dan pihak berkuasa tempatan.
Abdullah berkata antara tetamu kehormat lain yang dijadual hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata sambutan Hari OKU ini diadakan bertujuan untuk menonjolkan kemampuan dan potensi OKU, dan menjadi pemangkin serta faktor perangsang kepada semua pihak, agar lebih prihatin dan peka kepada keperluan OKU. – BERNAMA