KASIHAN.. empat kanak-kanak perempuan berusia 2 hingga 7 tahun dilaporkan ditemui berlegar tanpa arah tujuan di Sibu Jaya, Sarawak selepas dihalau dari rumah oleh ibu mereka, kelmarin.
Mengikut laporan polis, kanak-kanak malang ini ditemui sekitar jam 3.30 petang di hadapan sebuah kafe.
Pemeriksaan polis mendapati kanak-kanak ini hanya membawa sebuah beg, dua payung dan wang tunai RM70.
Empat kanak-kanak dipercayai adik beradik ini menyatakan nama mereka adalah Menai,7, Iyen,7, Echa,4 dan Olivia,2.
Dipercayai berbangsa Iban, usaha pihak polis menjejak rumah mereka dikatakan gagal hingga kanak-kanak ini terpaksa diserahkan kepada jabatan kebajikan untuk dilindungi.
Diharapkan waris kanak-kanak ini dapat tampil membela nasib mereka sekaligus membongkar kisah sebenar bagaimana seorang ibu boleh dikatakan tergamak berbuat begini kepada anak-anaknya yang masih kecil. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: REM RAMZI